PETALING JAYA: Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente menganggap keputusan seri 1-1 menentang India dalam aksi persahabatan antarabangsa tier 1, kelmarin sebagai keputusan yang adil.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata, keputusan berkenaan juga memberi petanda mereka mampu memberi saingan, namun masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam pasukan.
Katanya, penambahbaikan itu perlu dilakukan khususnya untuk Harimau Malaya mendepani cabaran pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang di jadual berlangsung, Mac depan.
“Saya rasa permainan ini agak sengit, pada separuh masa pertama kami bergelut sedikit untuk mencari rentak namun pada separuh masa kedua kami bertambah baik sedikit.
“Saya fikir keputusan itu agak adil tetapi mungkin kami terlepas beberapa peluang pada hujung permainan, agak kecewa tentang perkara itu tetapi kami gembira dengan prestasi semasa.
“Saya rasa ini satu keputusan yang baik apabila beraksi di tempat lawan. Sudah tentu kami mahu menang setiap perlawanan tetapi apabila tiba kelayakan (Piala Asia 2027) itu nanti, kita boleh memberi saingan di peringkat seperti ini.
“Mungkin dengan sedikit tuah dan ketepatan, kita boleh meraih keputusan positif. Kita pun beruntung kerana ada Piala AFF 2024 pada bulan depan, jadi kita akan lebih bersedia untuk perlawanan itu,” kata Vicente.
Pada aksi tersebut, Malaysia terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Paulo Josue pada minit ke-19 selepas kapten Kuala Lumpur City FC (KL City) FC itu memanfaatkan kesilapan penjaga gol India.
Bagaimanapun kedudukan berkenaan disamakan oleh Rahul Bheke selepas pemain berusia 33 tahun itu menanduk kemas sepakan penjuru sekali gus menafikan kemenangan Malaysia di gelanggang lawan.
Sebagai rekod, India berpotensi menjadi lawan negara pada pusingan kelayakan Piala Asia 2027 memandangkan India dijangka berada dalam ‘Balang 1’ manakala Malaysia dijangka kekal dalam ‘Balang 2’ bagi undian untuk pusingan kelayakan itu nanti.
Selain India, lima lagi pasukan yang bakal berada dalam ‘Balang 1’ adalah Syria, Tajikistan, Lubnan serta dua seteru ASEAN membabitkan Thailand dan juga Vietnam. – UTUSAN










