MANILA: Amerika Syarikat (AS) dan Filipina memeterai perjanjian penting bagi perkongsian maklumat dan teknologi ketenteraan sulit, sebagai langkah memperkukuh kerjasama pertahanan dalam usaha mengekang pengaruh China di rantau ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin bersama rakan sejawatnya dari Filipina, Gilberto Teodoro di Manila.
Menurut kenyataan pegawai terlibat, Perjanjian Maklumat Keselamatan Am Tentera (GSOMIA) membolehkan kedua-dua negara berkongsi maklumat sulit yang dapat memperkukuh pertahanan Filipina, selain menyelaraskan penjualan teknologi rahsia tertentu.
Walaupun Austin dan Teodoro tidak memberi sebarang kenyataan semasa majlis menandatangani perjanjian tersebut, Jabatan Pertahanan Filipina menyifatkan dokumen itu sebagai langkah penting untuk meningkatkan perkongsian maklumat serta memperkukuh kerjasama antara Filipina dan AS.
Perjanjian ini dimeterai di tengah-tengah usaha kerajaan pimpinan Presiden, Ferdinand Marcos Jr. untuk menolak tuntutan wilayah Beijing di hampir keseluruhan Laut China Selatan.
Beijing sebelum ini menolak keputusan mahkamah antarabangsa yang mengisytiharkan tuntutannya tiada asas undang-undang, selain bertindak menghantar kapal tentera laut serta pengawal pantai yang sering mengganggu operasi kapal-kapal Filipina mengakses beberapa terumbu dan pulau di perairan itu.
Kejadian ini telah mencetus konfrontasi dan menyebabkan kecederaan kepada anggota keselamatan Filipina serta kerosakan kepada kapal mereka sepanjang 18 bulan lalu.
Perkembangan itu turut membimbangkan pihak antarabangsa dengan kemungkinan AS terheret sama ke dalam konflik bersenjata berdasarkan perjanjian pertahanan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Jabatan Pertahanan Filipina, Austin dijadualkan melawat Pulau Palawan untuk bertemu pasukan keselamatan Filipina yang bertanggungjawab memantau Laut China Selatan serta mempertahankan pos-pos kawalan negara itu. -AFP











