Derita anak meninggal

Derita anak meninggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN
Anak saya meninggal secara tiba-tiba menyebabkan saya benar-benar merasa kehilangan. Adakah sebarang tips untuk mudah berdamai dengan takdir?
-Yang tersakiti

JAWAPAN
Kehilangan insan tersayang adalah satu pengalaman yang sangat perit. Tambahan pula, kehilangan itu melibatkan ahli keluarga sendiri pasti sangat merobek hati dan perasaan seseorang.

Bukan mudah untuk melalui suatu kehilangan yang menyakitkan, apatah lagi untuk berdamai dengan takdir.

Ia memerlukan satu masa untuk mencapai proses penyembuhan yang sebenar. Oleh itu, terdapat beberapa cara yang mungkin boleh membantu anda berdamai dengan takdir:

a)Amalkan teknik meditasi atau mindfulness – Teknik ini dapat membantu memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan. Fokus pada masa kini dan biarkan masa lalu atau masa depan berlalu sendiri. Proses penyembuhan memerlukan masa. Elakkan daripada tergesa-gesa untuk ‘sembuh’ dan biarkan prosesnya berlaku secara semula jadi.

b)Elak menyalahkan diri sendiri – Perasaan bersalah mungkin dirasai selepas berlaku kehilangan, yakinkan diri yang anda sudah berusaha untuk menjadi ibu bapa yang terbaik. Takdir hidup dan mati adalah di luar kawalan anda dan tidak ada yang boleh mengubahnya.

c)Menulis jurnal – Menulis jurnal adalah salah satu bentuk terapi. Ia dapat membantu anda untuk meluahkan emosi dan mengenal pasti perasaan yang sukar difahami. Tulis setiap perjalanan emosi yang dirasai dan lihat bagaimana perasaan itu berubah dari semasa ke semasa.

d)Berkongsi dengan orang yang dipercayai – Meluahkan perasaan kepada seseorang seperti ahli keluarga, rakan atau kaunselor dapat membantu mengurangkan bebanan emosi. Ia juga penting sebagai sumber sokongan kepada anda.

e)Lakukan aktiviti disukai – Cuba berjinak-jinak dengan aktiviti yang disukai dan nikmatinya dengan sebaik mungkin. Contohnya membaca, berjalan, atau berkebun. Aktiviti seperti ini boleh menjadi terapi dan membantu mengalihkan perhatian daripada kesedihan yang berterusan.

f)Cari kekuatan – Dekatkan diri dengan Tuhan. Banyak berdoa agar tuhan memberikan kekuatan dan membantu anda untuk menerima takdir dengan hati terbuka. Boleh juga membaca kisah-kisah inspirasi orang lain yang berjaya mengatasi kehilangan dalam hidup mereka sebagai sumber kekuatan untuk anda.

Kesimpulannya, menghadapi kehilangan orang tersayang adalah satu perjalanan yang mencabar emosi dan mental. Menerima takdir dan berdamai dengan kesedihan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia adalah satu proses dalam penyembuhan. Kuatkan diri dan yakinlah bahawa Tuhan pasti ingin berikan yang terbaik dalam kehidupan anda sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×