APAKAH yang anda lakukan sewaktu usia belasan tahun? Selain di bangku sekolah, kebanyakan remaja menggunakan masa itu untuk meneroka minat dan membina identiti.
Berbeza buat Greta Thunberg, usia remajanya tidak hanya dihabiskan dengan belajar atau berseronok, sebaliknya menjadi titik mula kepada sebuah perjuangan yang menginspirasikan generasi muda di seluruh dunia.
Gadis berusia 21 tahun ini adalah salah seorang aktivis perubahan iklim paling berpengaruh di dunia.
Dengan dedikasi dan kelantangannya, Greta berjaya menggerakkan jutaan orang, terutama golongan muda untuk memperjuangkan isu perubahan iklim dan mendesak tindakan segera daripada pemimpin global.

FASA KEMURUNGAN
Dilahirkan pada 2003 di Stockholm, Sweden, ibunya merupakan penyanyi opera, Malena Ernman, manakala bapanya, Svante Thunberg, pula adalah pelakon.
Greta mula belajar mengenai perubahan iklim ketika berusia lapan tahun.
Ketika itu, gurunya menunjukkan sebuah video mengenai kesan krisis iklim yang menyebabkan beruang kutub kelaparan, cuaca ekstrem dan banjir.
Penerangan gurunya yang keadaan itu berlaku disebabkan oleh perubahan iklim, telah meninggalkan kesan mendalam terhadap Greta.
Menurut bapanya, Greta mula mengalami kemurungan apabila berusia 11 tahun sehingga hampir dimasukkan ke hospital.
Selama berbulan-bulan, Svante menganggap anaknya berada dalam fasa ‘kesedihan tanpa henti’ kerana tidak lagi bercakap dan hilang selera makan sehingga melambatkan tumbesaran.
Pada masa sama, Greta juga didiagnosis dengan sindrom Asperger, sejenis autisme.
Pada awalnya, Svante menenangkan Greta dan meyakinkan anaknya bahawa semua yang ditakutinya itu akan baik-baik sahaja.
Namun, setelah membaca lebih lanjut mengenai krisis iklim, beliau menyedari tindakannya itu salah.
Untuk menenangkan Greta, mereka sekeluarga mula mengubah gaya hidup dengan mengurangkan pelepasan karbon termasuk berhenti makan daging di samping memasang panel solar dan menanam sayur.
“Kami buat semua perkara itu bukan untuk menyelamatkan iklim, kerana pada mulanya kami tidak begitu peduli tentang hal tersebut.
“Tetapi kami mahu tengok Greta bahagia dan perlahan-lahan dia mula makan dan bercakap semula,” kata Svante.

MOGOK PERTAMA
Pada 2018, ketika berusia 15 tahun, Greta melakukan protes, ‘Mogok Sekolah untuk Iklim’ di luar Parlimen Sweden bagi mendesak kerajaan memenuhi matlamat Perjanjian Paris.
Gadis ini duduk di hadapan Parlimen dengan memakai hoodie biru dan membawa sepanduk mogok sekolah buatan sendiri.
Greta tidak mendapat sokongan institusi, tiada sokongan rasmi dan tiada sesiapa yang menemaninya.
“Belajar tentang perubahan iklim pada asalnya mencetuskan kemurungan kepada saya, tetapi ia juga mengeluarkan saya daripada kemurungan.
“Ini kerana ada perkara yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki keadaan. Saya tiada masa untuk merasa tertekan lagi,” kata Greta.
Protes itu mendapat liputan meluas hingga ratusan ribu anak muda di seluruh dunia turut menyertai mogok Fridays for Future yang dipeloporinya.
Greta bukan pemimpin mana-mana parti politik atau kumpulan advokasi. Malah, beliau juga bukan orang pertama memberi amaran mengenai krisis iklim, mahupun individu paling layak untuk menyelesaikannya.
Beliau tidak mempunyai akses kepada pengaruh tradisional kerana bukan jutawan, bintang pop atau seorang dewasa pada ketika itu.
Greta hanya seorang remaja biasa yang berani untuk bercakap benar dan menjadi ikon kepada generasi muda.
Beliau pernah ditangkap beberapa kali kerana penyertaannya dalam protes alam sekitar di seluruh dunia dan didenda oleh mahkamah Sweden.
“Saya melihat dunia dalam warna hitam putih dan saya tidak suka berkompromi.
“Jika saya seperti orang lain, saya akan teruskan hidup dan tidak melihat krisis ini,” katanya kepada majalah Time.
Antara 2019 dan 2020, beliau mengambil cuti sekolah setahun untuk menumpukan perhatian sebagai aktivis dan menjadi terkenal kerana ucapannya yang penuh bersemangat kepada pemimpin dunia.
Greta turut dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan setiap tahun antara 2019 hingga 2023.
Pada 2019, beliau menjadi individu termuda dinobatkan sebagai Person of the Year oleh majalah Time. – AGENSI










