KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digesa mengkaji semula formula penetapan harga ayam hidup dan ayam standard dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 supaya pemain industri berkenaan tidak terbeban.
Harga sedia ada dikatakan tidak relevan kerana tidak mengambil kira faktor susut berat ayam hidup selepas diproses sekali gus merugikan pengusaha kilang pemprosesan ayam.
Pengusaha kilang pemprosesan ayam, Hamdan Abdul Hamid, 44, berkata, harga ayam hidup menerusi SHMMP 2021 ialah RM6.30 sekilogram dan purata berat seekor ayam kira-kira 2.2 kilogram.
“Jadi, harga kos untuk seekor ayam hidup adalah RM13.86, namun selepas proses buang bulu serta perut, berat ayam berkurang secara purata kira-kira 400 gram menjadikan berat seekor ayam tinggal kira-kira 1.8 kilogram.
“Jika kami jual dengan harga RM7.10 iaitu harga ditetapkan bagi ayam standard, bermakna seekor ayam berharga RM12.78 sen iaitu lebih rendah daripada harga modal,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hamdan berkata, bagi mengelak kerugian, dia mengambil keputusan untuk memproses dan menjual ayam super kerana harga ditetapkan masih menguntungkan.
“Saya memperoleh ayam dengan harga RM6.05 sekilogram daripada penternak, tetapi, walaupun harga itu lebih rendah daripada harga kerajaan, namun jika dijual pada harga RM7.10 sekilogram, saya masih rugi,” katanya.
Sementara itu, pengurus syarikat Ayam Putih MG Sdn. Bhd., Azlisham Muhammad, 34, berkata, pihaknya tiada masalah mengikut harga ditetapkan kerajaan kerana mempunyai ladang ternakan sendiri.
“Kami mengikut harga kerajaan, namun sebagai pemain industri, kami faham pihak yang terkesan dengan skim harga yang ditetapkan dan langkah kerajaan pula hanya untuk memastikan pengguna tidak terbeban.
“Mungkin kerajaan perlu memikirkan penyelesaian supaya ada situasi menang-menang sebagai contoh memberikan subsidi untuk harga ayam sepanjang tempoh musim perayaan ini,” katanya.










