Anak sungai cetek akibat tambak tanah

Anak sungai cetek akibat tambak tanah

KEADAAN banjir kilat yang berlaku berdekatan rumah pangsa di Tanah Rata, Cameron Highlands, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Kegia­tan menambak tanah menyebabkan sebatang anak sungai di Tanah Rata di sini, semakin cetek dan menjejaskan aliran air sehingga sering berlaku banjir di kawasan berdekatan setiap kali hujan le­bat.

Perkara itu dikesan oleh Persa­tuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) ketika melakukan tinjauan dan mendapati anak Sungai Jasar, sudah dipenuhi tanah kesan kerja-kerja pemenambakan berdekatan anak sungai tersebut.

Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, kegiatan menambak tanah itu dikesan di bahagian belakang sebuah dewan di Tanah Rata, berdekatan anak Sungai Jasar.

Menurutnya, kerja-kerja menambak tanah di situ menyebabkan banyak tanah jatuh ke dalam sungai tersebut sehingga sungai menjadi cetek.

Katanya, keadaan itu menyebabkan aliran air tersumbat dan sering menyebabkan banjir di kawasan berdekatan terutama di Pangsapuri Jasar dengan kejadian terbaru, berlaku banjir kilat baru-baru ini.

Tambahnya lagi, laluan anak Sungai Jasar hingga ke Jalan Tengkolok dan ke Flat Jasa, sedangkan kedalaman air anak sungai itu semakin cetek dipenuhi tanah akibat kerja-kerja penambakan.

“Apabila aliran air anak sungai ini tersekat, air akan naik, melimpah dan menyebabkan banjir kilat. Sudah kerap kawasan Flat Jasar ini berlaku banjir kilat de­ngan airnya bercampur lumpur.

“Banjir berlaku disebabkan anak Sungai Jasar sudah cetek dipenuhi tanah akibat kerja-kerja menambak tanah di situ. Bagaimana kerja-kerja menambak tanah boleh dibenarkan sedangkan kawasan tersebut berdekatan dengan anak sungai?.

“Malah anak Sungai Jasar dikategorikan sebagai Sungai Kelas 1, iaitu airnya boleh diminum kerana sungai itu tiada ada apa-apa ganggungan, tiada aktiviti manusia. Tapi lihat keadaannya sekarang amat menyedih­kan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Dilip, banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat menyusahkan penduduk Flat Jasar untuk keluar masuk ke kawasan kediaman mereka.

Katanya, setiap kali banjir kilat, kawasan flat itu digenangi air selama berjam-jam malah air banjir melimpah hingga ke jalan raya.

“Malah, saya difahamkan dalam kejadian banjir yang berlaku kelmarin, ada kematian di flat tersebut dan ini sudah tentunya menyukarkan penduduk ketika hal sedemikian.

“Sampai bila penduduk akan mengharungi kesukaran ini? Reach berharap pihak berke­naan mengambil tindakan yang serius untuk mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×