KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia memasuki era baharu pelaburan untuk transformasi ekonomi serta komitmen dalam mengalu-alukan pelaburan yang selari dengan masa depan yang berdaya tinggi dan mampan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terkemuka, menarik pelaburan bernilai tinggi seperti yang dinyatakan dalam Aspirasi Pelaburan Baharu.
“Portal InvestMalaysia adalah langkah penting ke hadapan dalam merapatkan jurang antara niat dan tindakan, mempermudah akses untuk para pelabur serta menjadikan landskap pelaburan Malaysia lebih mudah diteroka dan memberi ganjaran.
“Portal ini mewakili lebih daripada sekadar alat. Ia adalah bukti semangat kerjasama dalam Malaysia Madani, di mana kementerian dan agensi bekerjasama untuk membina ekosistem yang lebih kohesif dan mesra pelabur,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran portal InvestMalaysia di Sasana Kijang, di sini, semalam.
Jelas Amir Hamzah, beliau yakin portal InvestMalaysia bukan sahaja akan menarik minat global, malah juga memupuk perkongsian yang bermakna yang akan mendorong kemajuan dan kemakmuran Malaysia.
Amir Hamzah berkata, portal itu bertujuan untuk menangani jurang untuk mendapatkan maklumat terakhir mengenai pelaburan di Malaysia.
“Kami telah mewujudkan platform untuk pelabur mendapatkan jawapan bagi persoalan yang ada atau sekurang-kurangnya mengetahui tempat yang betul untuk mencari maklumat yang tepat.
“Investor Relation Office (IRO) dan portal InvestMalaysia akan bertindak sebagai jurupandu bagi pelabur portfolio yang berhasrat menyertai pasaran negara,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan melancarkan portal InvestMalaysia www.investmalaysia.gov.my sebagai gerbang maklumat sehenti untuk pelabur mendapatkan maklumat tentang Malaysia.
Portal ini bertindak sebagai platform sehenti dan mengumpulkan maklumat penting yang diperlukan bagi para pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap dan tepat pada masanya.
Portal InvestMalaysia bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik dengan mengetengahkan dan mempromosikan peluang pelaburan yang menarik dalam pasaran kewangan Malaysia kepada pelabur domestik dan asing.
Antara tawaran khusus portal ini termasuk pemahaman menyeluruh mengenai prospek ekonomi Malaysia, dasar negara, landskap perniagaan, maklumat pasaran khusus sektor dan kemudahan pelaburan yang bersesuaian.-UTUSAN










