ILMU sains rumah tangga tidak boleh dipandang remeh kerana ketiadaannya menyumbang kepada kepincangan dalam institusi keluarga.
Justeru, menjadi tanggungjawab semua golongan termasuk lelaki dan kanak-kanak untuk menguasai kemahiran asas tersebut.
Ini bermaksud tugasan memasak, menjahit dan mengemas rumah bukan hanya milik isteri atau surirumah.
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rahimah Jamaluddin berkata, aktiviti memasak bukan sekadar merujuk kepada proses penyediaan makanan untuk keluarga tetapi melibatkan pengurusan perbelanjaan dapur dan keperluan rumah.
Malah, individu yang mempunyai ilmu itu juga berpeluang menghasilkan hidangan seimbang sekali gus membantu mengurangkan kos makanan dan mengelakkan pembaziran.
Selain itu, ujarnya, menerusi ilmu pembersihan dan penyelenggaraan kediaman pula, seseorang tidak perlu mengupah petugas perkhidmatan bagi melaksanakan tugasan tersebut.
Begitu juga dengan mengubah suai dan membaiki pakaian ahli keluarga yang dapat dilakukan sendiri tanpa perlu menghantarnya ke kedai-kedai yang dikendalikan warga asing.
“Kini, permintaan terhadap perkhidmatan membaiki pakaian semakin hari semakin tinggi terutama di musim perayaan atau persekolahan.
“Dalam masa sama, ia juga boleh memberi pulangan yang lumayan antara RM1 hingga RM20 bagi setiap pakaian jika dijadikan sebagai kerjaya,” katanya baru-baru ini.
Sehubungan itu, Rahimah menekankan kepentingan untuk mendedahkan ilmu sains rumah tangga sejak kecil bagi membina kemahiran asas di samping menyemai minat dan kebolehan anak-anak.
Langkah itu dalam masa sama dapat menanam nilai-nilai penting yang diperlukan untuk menguruskan kehidupan dan keluarga dengan lebih berkesan.

Kurang pendedahan di sekolah
Pendedahan yang kurang di peringkat sekolah menyebabkan pelajar kurang berminat untuk mempelajari dan memilih sains rumah tangga sebagai pilihan utama mereka.
Apatah lagi ia sering dikaitkan dengan pelajar yang lemah akademik dan malas.
Kata Rahimah, persepsi negatif itu sekali gus mendorong kebanyakan sekolah tidak menawarkan subjek berkenaan.
“Namun tanggapan ini tidak tepat, kerana Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengklasifikasikan mata pelajaran sains rumah tangga di bawah kumpulan elektif STEM (Sains Gunaan dan Teknologi) mulai 2020.
“Ini membuktikan ia sama pentingnya dalam pembangunan negara, setanding subjek elektif STEM lain,” katanya.
Rahimah turut mencadangkan subjek itu diangkat sebagai sebahagian daripada kurikulum kerana manfaat besarnya dalam membentuk kemahiran asas pelajar sejak usia muda.
“Namun dalam era moden ini, pendidikan sains rumah tangga tidak lagi diberi penekanan, meskipun ia merupakan bidang ilmu yang sangat bermanfaat.
“Oleh itu adalah penting untuk memperkenalkan mata pelajaran ini kepada anak-anak seawal usia enam tahun bagi membentuk karakter, tanggungjawab dan jati diri mereka,” katanya.








