KANGAR: Perubahan cuaca melampau atau cuaca ekstrem kemarau dan hujan lebat luar biasa yang diramal bermula tahun depan bakal memberi impak besar khususnya dalam soal keterjaminan makanan di Malaysia seterusnya terpaksa bergantung kepada import.
Malaysia kini bergantung kepada import beras khususnya lebih daripada 30 peratus untuk keperluan domestik selain sebahagian besar makanan seperti gandum, jagung dan daging lembu juga diimport dari luar negara.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, cuaca ekstrem seperti kemarau dan hujan lebat itu bakal menjejaskan pengeluaran tempatan sehingga menyebabkan negara lebih bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan rakyat.
Katanya, ekoran itu juga, ketidakstabilan harga di pasaran global bakal menyebabkan harga makanan import melambung tinggi sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Ujar beliau, krisis keterjaminan makanan global yang dicetuskan oleh perubahan cuaca itu termasuk ketika konflik geopolitik seperti yang dilihat dalam krisis gandum global akibat perang Russia-Ukraine pada 2022 telah memperlihatkan risiko yang Malaysia hadapi jika terlalu bergantung kepada import makanan.

“Kemarau berpanjangan pernah berlaku pada 2016 di mana Kedah yang merupakan kawasan penanaman padi utama di Malaysia pernah mengalami penurunan ketara dalam hasil pengeluaran padi kerana kekurangan air pengairan yang diperlukan untuk sawah.
“Selain itu, banjir ekstrem seperti yang melanda Pantai Timur pada 2021 juga telah memusnahkan kawasan pertanian dan ladang ternakan sehingga mengurangkan pengeluaran domestik.
Contohnya, kawasan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di Cameron Highlands dan Lembah Klang mengalami kerosakan akibat banjir besar itu yang membawa kepada kekurangan bekalan makanan segar dan kenaikan harga di pasaran.
“Malah, ladang ternakan ayam dan ikan juga terjejas teruk menyebabkan penurunan pengeluaran daging ayam dan ikan iaitu dua sumber protein utama bagi rakyat Malaysia.
“Impak ini tidak hanya terhad kepada pengeluaran makanan domestik tetapi juga kepada keselamatan makanan rakyat. Apabila bekalan makanan berkurangan harga makanan akan meningkat dengan mendadak seperti yang berlaku pada tahun 2022 apabila harga bahan makanan seperti minyak masak, sayur-sayuran, dan telur naik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Norazian, perkembangan tersebut juga bakal memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah yang mengalami beban inflasi paling tinggi.
Katanya lagi, Malaysia menghadapi risiko serius dalam soal keterjaminan makanan jika tidak ada pelan tindakan segera.
“Pertanian moden dan penggunaan teknologi yang lebih cekap serta strategi diversifikasi sumber makanan adalah penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan meminimumkan impak cuaca ekstrem terhadap bekalan makanan domestik. Kerjasama serantau juga perlu diperkukuh untuk memastikan bekalan makanan yang stabil dan mampan dalam situasi kecemasan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir bakal memberikan kesan ketara kepada pelbagai aspek negara, termasuk ekonomi, infrastruktur dan sosial.
Katanya, kemarau berpanjangan contohnya akan menyebabkan kekurangan bekalan air yang kritikal sehingga memberi kesan negatif kepada sektor pertanian dan bekalan air domestik.
Ujarnya, ia juga menjejaskan operasi loji-loji hidroelektrik yang memerlukan air sebagai sumber utama untuk penjanaan tenaga.
“Krisis air seperti yang berlaku di Malaysia pada 2014 mengakibatkan penutupan loji hidroelektrik di beberapa negeri seperti Kedah, dan gangguan bekalan air di kawasan bandar. Banjir ekstrem pula seperti yang berlaku semasa banjir besar di Pantai Timur pada 2014 dan 2021 menyebabkan kerosakan harta benda, infrastruktur dan kemudahan awam.
“Kerugian ekonomi yang dihadapi negara akibat banjir pada 2021 dianggarkan mencecah RM6.1 bilion dengan lebih 70,000 orang terpaksa dipindahkan. Sektor-sektor seperti perniagaan, industri dan perumahan turut mengalami kerugian besar di samping menyebabkan gangguan operasi ekonomi di kawasan terjejas,” katanya. -UTUSAN











