PNB, Khazanah perlu lantik juruaudit bebas segera

FashionValet: PNB, Khazanah perlu lantik juruaudit bebas segera

NILAI saham Kha­zanah dan PNB dalam FashionValet menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023 berbanding jumlah yang dibelanjakan pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) perlu melantik juruaudit bebas dengan kadar segera, susulan pelaburan dalam FashionValet Sdn. Bhd. untuk mengelakkan reputasi kedua-dua entiti pelaburan kerajaan itu terus terjejas. 

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada entiti terlibat kerana melibatkan dana awam. 

“PNB merupakan sebuah institusi bagi meningkatkan ekonomi bumiputera dalam sektor korporat jadi mungkin ada agenda yang sesuai dan merasionalkan keputusan sekarang ini. 

“Bagaimanapun, ketika ini, kedua-dua entiti (PNB dan Khazanah) perlu mengaudit bukan sahaja dari dalam syarikat tetapi melantik juruaudit bebas firma perakaunan sebagai audit khas untuk mengelakkan reputasi PNB dan Khazanah terus terjejas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Jelas Barjoyai, beliau pasti kedua-dua entiti pelaburan kerajaan tersebut mempunyai rekod kewangan namun, mungkin tidak dilaksanakan secara telus. 

“Saya percaya mereka (PNB dan Khazanah) ada rekod kewangan, namun ia perlu diaudit secara telus oleh pihak audit yang bertauliah,” katanya. 

Selain itu, Barjoyai turut menjelaskan pelaburan dalam industri fesyen mempunyai cabaran dan risiko tersendiri. 

“Saya melihat kedua-dua (PNB dan Khazanah) mempunyai cara tersendiri untuk melabur dalam industri ini. Mungkin pelaburan yang dilakukan bagi mahu mengangkat jenama usahawan Malaysia ke peringkat global dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, PNB dan Khazanah tidak sepatutnya melabur dalam FashionValet setelah mengetahui keadaan syarikat itu yang telah pun rugi. 

“Bagaimanapun, pendekatan holistik perlu diambil untuk memulihkan imej dua entiti ini untuk bertanggungjawab. 

“Hal ini boleh dilakukan untuk memastikan integriti dan ketelusan dalan menilai pelaburan yang mungkin bermasalah. Selain itu, pilihan juruaudit yang ada reputasi tinggi dan berpengalaman terutama firma audit bebas yang ada kepakaran dalam industri e-dagang termasuk syarikat audit Big 4  (Ernst & Young, Deloitte & Touche, KPMG dan PricewaterhouseCoopers),” katanya.

Jelas Umi Hamidaton, antara langkah lain termasuk penstrukturan semula sekiranya nampak masih lagi ada potensi seperti melantik pengurusan baharu dan mengurangkan kos operasi. 

Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis Parlimen pada 28 Oktober lalu, menyatakan nilai saham Khazanah Nasional dan PNB dalam FashionValet menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023 berbanding jumlah yang dibelanjakan pada 2018.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menyiasat pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam FashionValet.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×