PETALING JAYA: Sebanyak RM2.8 juta mengalir keluar dari negara pada setiap bulan ekoran tindakan kelab-kelab golf mengambil dan mengutamakan 1,740 pekerja asing untuk berkhidmat sebagai kedi tanpa permit sah dengan menganaktirikan pekerja tempatan.
Jumlah itu mengambil kira gaji daripada hampir separuh pendapatan RM4,000 yang diperoleh warga asing dan dihantar pulang ke kampung halaman untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.
Lebih mengejutkan, mereka yang ditempatkan di kelab-kelab golf, dipercayai menyalahi undang-undang negara ini apabila berkhidmat sebagai kedi tanpa permit pihak berkuasa.
Sumber industri mendedahkan, pihaknya amat kecewa dengan perkembangan itu selepas didapati 80 peratus daripada 159 kelab golf mengupah warga asing meskipun negara mempunyai kedi tempatan bertauliah di samping telah diberi latihan secukupnya.
Katanya, perkara itu berlaku kerana sikap pengurusan kelab golf yang ingin mementingkan keuntungan semata-mata kerana mahu membayar caj kedi lebih murah jika mendapatkan khidmat pekerja asing.
“Caj kedi dalam lingkungan RM100 (nilai bergantung kepada kelab golf), tetapi kelab ambil RM50 manakala selebihnya diberi kepada agen. Manakala agen pula akan ambil RM30 dan RM20 diberikan kepada kedi warga asing.
“Jika mereka ambil warga tempatan, mereka perlu tanggung upah kedi yang tertakluk di bawah Akta Kerja termasuk penetapan gaji minimum dan elaun kerja lebih masa.
“Berbanding pekerja asing, sudahlah tidak ikut undang-undang buruh tetapi membayar mereka tanpa permit merupakan satu kesalahan. Dalam permit tulis pekerja restoran, tetapi kerja sebagai kedi kelab golf,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, tanpa perlindungan sosial dan caruman pekerja, pekerja asing berupaya memperoleh gaji bersih sekitar RM4,000 manakala separuhnya daripadanya dihantar keluar negara asal.
Katanya, pelbagai manfaat dan kebaikan jika kelab golf mengambil warga tempatan khususnya dalam kalangan anak-anak muda memandangkan kerjaya kedi menawarkan gaji berpatutan iaitu boleh mencecah RM4,000.
“Tidak dinafikan industri golf memerlukan 4,500 kedi untuk menampung permintaan, namun mengapa kelab-kelab lebih mengutamakan warga asing berbanding anak-anak tempatan?
“Di saat rakyat Malaysia bergelut mencari pekerjaan, adalah lebih baik kelab golf mengutamakan anak-anak tempatan sebagai kedi yang menjanjikan pendapatan amat setimpal.
“Malah kerjaya kedi ini tidak memerlukan lulusan tinggi, tetapi hanya kursus dan latihan singkat, akhirnya mereka layak menerokai dunia golf profesional,” katanya.
Katanya, beberapa pihak dengan kerjasama agensi kerajaan telah mewujudkan kursus latihan kedi yang boleh menawarkan pekerjaan sepenuh masa berserta faedah.
Justeru itu, beliau berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
“Apa kurangnya bakat anak tempatan, jika ia berlaku negara akan rugi kerana bukan sahaja mereka sukar mendapat pekerjaan, tetapi duit kita mengalir keluar dengan begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN










