BEIRUT: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan dan beberapa lokasi lain di timur Lubnan ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu melawat wilayah sempadan.
Rakaman disahkan oleh Al Jazeera menunjukkan kesan serangan ke atas bangunan bertingkat di Haret Saida, kawasan padat penduduk berhampiran bandar Sidon di selatan Lubnan.
Kebakaran besar dilaporkan berlaku di tingkat atas dan kemusnahan yang meluas dilihat di semua tingkat bangunan tersebut.
Israel turut membedil bandar Ghaziyeh di selatan Sidon, memusnahkan sebuah bangunan kediaman.
Seorang kanak-kanak dilaporkan sempat diselamatkan dari runtuhan.
“Sidon dibedil beberapa kali sejak seminggu lalu, petunjuk peningkatan serangan lebih jauh ke utara berbanding sasaran utama operasi awal Israel di selatan,” kata wartawan Al Jazeera, Charles Stratford melaporkan dari Beirut.
Agensi Berita Nasional yang dikendalikan kerajaan Lubnan melaporkan serangan Israel lain berhampiran hospital di Tebnin, sebuah bandar di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan.
Datuk Bandar Tebnin berkata, hospital itu mengalami kerosakan teruk, malah tiada satu pun serangan rejim Zionis didahului dengan amaran pemindahan.
Semalam, tentera Israel berkata, pasukannya melancarkan tiga serangan menyasarkan kemudahan berkaitan Hezbollah berhampiran Tyre dan Baalbek, kawasan menempatkan kuil purba serta runtuhan Rom kuno yang diiktiraf sebagai tapak warisan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, sekurang-kurangnya 2,986 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Lubnan sejak Oktober lalu, dengan 18 maut dan 83 cedera dalam tempoh 24 jam lalu.
Semasa lawatan ke sempadan dengan Lubnan semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk menolak kumpulan bersenjata Hezbollah kembali ke seberang Sungai Litani, kira-kira 30km di dalam Lubnan dari sempadan Israel.
“Dengan atau tanpa persetujuan, kunci untuk mengembalikan penduduk kami yang dipindahkan di utara dengan selamat ke rumah mereka adalah dengan menahan Hezbollah di luar Litani.
“Menyerang setiap percubaan mereka untuk mempersenjatai semula pasukannya dan bertindak balas secara paksa terhadap semua tindakan menyasarkan kami,” kata Netanyahu.











