Zizi mahu jadi talam dua muka - Utusan Malaysia

Zizi mahu jadi talam dua muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyebut nama Zizi Zulkifli mungkin masih baru. Namun bintang berbakat besar ini sememangnya aktif dalam radar seni lakonan tempatan sejak dua tahun lalu. Bahkan namanya juga terkenal dalam kalangan penggiat teater dan tari.

Sungguhpun begitu, Zizi atau nama penuhnya Nur Hazirah, 22, berharap ada sinar pada tahun ini untuk dia lebih menyerlah menerusi watak utama. Iyalah, sekadar peranan kecil tidak memberi kepuasan maksima untuk menonjolkan bakatnya itu, lebih-lebih lagi watak yang berulang.

Berbicara mengenai watak dengan lebih mendalam, Zizi yang juga mahasiswi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memberitahu, dia dahagakan watak utama antagonis seperti talam dua muka.

“Buat masa ini kebanyakan watak yang saya bawa adalah watak klise seperti pembantu peribadi kepada majikan. Ada pun sebelum ini kelainan perwatakan kena gedik dan perlu mencari habit serta cara untuk melakonkan secara antagonis.

“Moga-moga selepas ini dapatlah saya melakonkan watak jahat yang memainkan peranan sebagai talam dua muka. Dia berlagak baik tapi sebenarnya paling ‘syaitan’. Contohnya watak Hannah Delisha dalam drama Cinta Sekali Lagi, pijak semut tak mati.

“Bagi saya watak sebegitu betul-betul mencabar kemampuan diri. Mana tidaknya, dalam satu masa sama perlu mengubah karakter dengan membuat perbezaan baik dan jahat,” jelas Zizi.

Akur dengan kehendak watak dalam menggalas tanggungjawab untuk menghidupkan jalan cerita, Zizi yang semakin dikenali menerusi drama Marry Me Senorita mempunyai cara sendiri untuk melatih diri selain berusaha sendiri untuk mendapatkan peluang keemasan sebagai pelakon utama.

“Dalam bayangan dan harapan saya untuk dicapai pada tahun 2021 ini adalah dengan memegang peranan yang lebih besar atau lebih spesifik.

“Saya tahu bukan senang. Tambahan lagi dengan kekangan masa sebagai pelajar sepenuh masa dan masalah pandemik kini.

“Saya tetap berusaha dengan melakukan follow up produksi yang saya pernah bekerjasama. Buat hubungan dengan pihak-pihak yang boleh memberikan peluang kepada saya supaya dapat merealisasikan impian.

“Dalam masa sama, saya juga melatih diri dengan mempelajari skil lakonan untuk meningkatkan lebih banyak watak yang jarang dilakukan bagi mencabar kemampuan diri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizi bakal muncul menerusi drama Baby Tak Gila arahan Nizam Zakaria di Hypp Sensasi TV saluran 116 terbitan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. setiap Isnin hingga Khamis pukul 9 malam.

Antara barisan pelakon lain seperti Wafariena Roslan dan Syazuwan Hassan.

Berkongsi tentang persiapan sebelum memasuki set penggambaran, lazimnya sebelum penggambaran gadis jelita itu akan terlebih dahulu menelaah skrip dan menyediakan diri sekurang-kurangnya tiga jenis cara membawakan dialog yang diberikan.

“Selain itu saya akan membayangkan apa yang perlu digambarkan untuk watak yang diberikan. Contoh apa kriteria watak, rupa dari segi solekan, dan baju yang sesuai untuk watak yang akan dibawakan.

“Selalunya juga saya akan persiapkan diri dengan solekan asas penuh sebelum sampai ke set dan sediakan baju yang secukupnya.

“Adakalanya terbawa lebih sampaikan kadang-kadang krew bahagian wardrobe cakap sudah boleh pakai untuk drama seterusnya sekali.

“Sebelum atau dalam perjalanan nak pergi ke lokasi penggambaran saya akan melakukan senaman vokal. Sebagai tanda restu saya akan hubungi mama didoakan agar saya boleh buat yang terbaik untuk hari itu,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×