PETALING JAYA: Siapa yang akan menerima tiket wildcard pada perlumbaan Grand Prix Malaysia Petronas pada November ini masih belum diketahui walaupun ada yang menjangka dua pelumba yang sama pada edisi lalu akan diberi laluan pada kali ini.
Jika mengambil kira wakil negara yang diberikan peluang tahun lalu, Muhammad Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar yang bernaung di bawah Petronas MIE Racing akan berlumba buat kali kedua dan ketiga bagi kategori Moto2 atau Moto3 di Sepang..
Tahun lalu, Helmi menamatkan perlumbaan di tempat ke-23 daripada 31 pelumba dalam kategori Moto2 manakala Azroy terkeluar selepas terbabit dalam kemalangan.
MIE Racing diterajui warga Jepun, Midori Moriwaki dan memiliki latar belakang serta pengalaman luas bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.
Bercakap mengenai kategori pula, walaupun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif ketika ditemui, minggu lalu, belum mendedahkan kategori yang bakal disertai pelumba wildcard, namun tidak mustahil Moto2 mungkin menjadi pilihan penaja.
Jika mengambil kira prestasi pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Helmi dan Azroy yang bernaung di bawah pasukan tersebut masing-masing menghuni kedudukan ketiga (122 mata) serta keempat (113 mata) bagi kategori Superports 600cc.
Helmi pula yang turut bersaing dalam Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK), mendahului kategori 600cc setelah mengumpul 138 mata dan dijangka mampu mempertahankan gelaran diraih tahun lalu apabila meninggalkan pencabar terdekat dari Thailand, Thanat Laoongplio di kedudukan kedua dengan 97 mata. – UTUSAN










