LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya anak-anak buahnya akan bangkit untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas beberapa tonggak utama The Gunners ditimpa kecederaan.
Arteta berkata, beliau telah mengenal pasti beberapa faktor yang menjadi punca mereka gagal meraih kemenangan termasuk ketika seri 2-2 dengan Liverpool di Stadium Emirates, semalam.
Pengendali yang berasal dari Sepanyol itu mengakui kekurangan aspek ‘keberanian’ menjadi punca anak-anak buahnya terpaksa berkongsi satu mata dengan skuad kendalian Arne Slot.
Skuad kendalian Arteta dua kali mensia-siakan pendahuluan dalam pertembungan besar itu yang menjadi kemuncaknya apabila Mohamed Salah menyumbat masuk gol penyamaan sembilan minit sebelum tamat.
The Gunners mendahului menerusi gol pembukaan Bukayo Saka dan gol penyamaan Virgil Van Dijk disusuli oleh gol tandukan Mikel Merino pada masa kecederaan babak pertama.
Namun, Arsenal dirundung malang apabila Gabriel Magalhaes dan Jurrien Timber mengalami kecederaan pada babak kedua, melemahkan benteng pertahanan yang sudah terlepas khidmat William Saliba.
Mereka mengakhiri perlawanan itu dengan rombakan di benteng menyaksikan pemain tengah Thomas Partey beraksi di pertahanan kanan dan Ben White beralih dari pertahanan kanan ke pertahanan tengah.
“Babak pertama kami menampilkan penguasaan penuh, jaringan patut lebih besar, tetapi tanpa memberikan apa-apa kami melepaskan dua gol. Ia satu perkara yang mengecewakan.
“Kami jauh lebih baik, tetapi kami tidak bertindak lebih baik pada separuh masa kedua, itulah sebabnya kami tidak menang. Kami tidak mempunyai keberanian. Saya lebih kecewa dan sedih dengan perkara itu.
“Saya percaya, para pemain akan bangkit selepas ini untuk merebut kejuaraan. Kami sekarang belajar bagaimana untuk bersaing dengan sabar dan menikmati permainan yang menarik,” kata Arteta
Keputusan seri itu menyaksikan The Gunners berada di tangga ketiga EPL, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Manchester City yang kekal dengan rekod tanpa kalah setakat ini. – AGENSI/UTUSAN











