OKTOBER bulan sinonim dengan isu berkaitan wang, bajet atau belanjawan. Maklumlah sudah hampir ke penghujung tahun, mahu atau tidak kita memang perlu ambil tahu.
Di media sosial, ramai yang tidak faham akan cubacuba meninggalkan komen seolah-olah faham segala situasi.
Antara terhangat ialah mengenai dilema dihadapi golongan M40 yang lebih banyak tidak layak mendapat keistimewaan tertentu.
Kategori M40 dengan anak lima, bajetnya memang tidak akan sama dengan B40, lebih-lebih lagi yang bersumberkan pendapatan makan gaji sepenuhnya.
Klasifikasi yang membezakan sedangkan jumlah mulut yang hendak diisi tidak sama.
Keadilan itu bukan dilihat dengan digit gaji, sebaliknya daripada segi jumlah tanggungan dan perbelanjaan dikeluarkan sesebuah isi rumah.
Dalam kesibukan berbicara soal belanjawan negara, usah kita lupakan belanjawan keluarga kita yang kena diteliti juga.
Mana yang boleh dikurangkan, kurangkan dan yang mana tidak perlu mungkin boleh dibuang daripada list.
Pakar kewangan pengguna menasihati kita untuk menyediakan bajet yang disusun cantik ikut keutamaan, supaya pada acara tertentu seperti musim perayaan, kita ada bajet untuk membeli baju raya dan juadah Aidilfitri.
Lebih mustahak untuk mengelakkan kita daripada rasa terbeban dalam menyambut hari kemenangan umat Islam dan meraikan anak-anak dan keluarga sempena hari mulia.
Bajet sekolah anak pun perlu diutamakan. Janganlah bila masuk sekolah, anak-anak tiada kelengkapan hingga pen dan pensil pun terpaksa cikgu sediakan.
Aduhai. Bab membangunkan bajet keluarga ini, kita juga perlu ber kiran terbuka.
Luaskan persepsi dengan bukan semua benda baharu yang kita beli itu terbaik. Kalau ada baju lama Along yang masih elok, usah rasa bersalah kita minta Angah pakai.
Zaman kita kecil-kecil dulu, baju kakak yang masih elok diperturunkan pada kita yang berpangkat adik. Tidak timbul pun rasa malu sebaliknya seronok sebab rasa sudah besar macam kakak.
Cubalah tingkatkan kemahiran diri. Saya lihat pendatang asing mampu buka kedai jahit bukan sebab tahu ada peluang.
Ramai orang kita yang tidak mahu belajar menjahit, sebaliknya lebih rela mengupah orang potong kaki seluar dan tangan.
Ilmu kemahiran banyak manfaatnya kepada diri dan keluarga. Kalau tidak boleh berjimat banyak, sikit pun sudah cukup baik.
Kalau sehelai seluar caj potong RM10, kalau dalam keluarga ada lima orang, bukankah sudah boleh berjimat RM50? Kalau setahun?
Anak-anak tengok sahaja bagaimana ibu dan bapanya berbelanja. Kalau kita yang dewasa tidak bersedia merubah gaya hidup, usah haraplah anak kita dapat ilmu berjimat cermat.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










