PETALING JAYA: Pengabaian warga emas semakin menjadi amalan biasa apabila sehingga Jun lalu sebanyak 10,000 warga emas dihantar ke pusat jagaan di seluruh negara dengan Selangor negeri tertinggi warga emas `dibuang’.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat 425 pusat jagaan warga emas yang berdaftar di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah warga emas paling ramai `dibuang’ iaitu sebanyak 1,883 orang diikuti Perak 1,582, Johor seramai 1,488 dan Pulau Pinang sebanyak 1,106.
Antara faktor yang sering digunakan dalam kes pengabaian warga emas berpunca daripada harta, balas dendam dan segelintir lagi disebabkan sikap warga emas itu sendiri yang terlalu ‘cerewet’.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata,, Pusat Jagaan Mahmudah banyak menerima warga emas daripada kategori dibuang waris, sebatang kara, Asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Fakir Miskin.
Di Pusat Jagaan Mahmudah, setakat ini terdapat 49 orang penghuni warga emas telah ditempatkan dan kebanyakan kes diterima daripada hospital kerajaan dan dibuang oleh anak-anak kerana tidak boleh menguruskan diri.
“Mereka yang ditempatkan di sini juga telah dirujuk daripada hospital-hospital kerajaan seluruh Malaysia atau JKM atau mana-mana agensi yang berkaitan.
“Bagi kes hospital pula kebanyakan daripadanya merupakan kes apabila anak atau waris tidak mahu menuntut ibu atau ayah mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, jumlah warga emas yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian oleh orang yang mempunyai pertalian atau rapat dengan mangsa dijangka meningkat sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara efektif.
Pusat Penyelidikan Pendidikan dan Kesejahteraan Kewangan (FEWRC) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui laporannya mendapati seorang daripada setiap 10 warga emas di Malaysia menjadi mangsa kepada fenomena penderaan dan pengabaian warga emas (EAN).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan EAN sebagai satu perbuatan yang berlaku sama ada secara sekali atau berulang termasuk tiada penjagaan sewajarnya sehingga menyebabkan kemudaratan atau tekanan kepada warga emas.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, bagi mengatasi masalah pengabaian orang tua, langkah terbaik yang perlu dilakukan perlu bermula daripada warga emas itu sendiri.
Katanya, ibu bapa tidak boleh terlalu bergantung dengan anak-anak kerana mereka juga mempunyai komitmen tersendiri terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.
“Kita sendiri kena faham, anak-anak mungkin sudah berkeluarga, ada tanggungan, jadi sebagai ibu bapa perlu bersedia dari segi mental dan kewangan,” jelasnya.
Katanya, ibu bapa perlu menyediakan kewangan yang mencukupi untuk simpanan hari tua bagi menanggung kos perubatan supaya anak tidak rasa terbeban dan boleh menjaga mereka sekiranya menghadapi masalah kesihatan.
Bukan itu sahaja, cara didikan yang betul sejak awal dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih kepada anak-anak adalah penting.
“Kebanyakan kes yang saya terima, anak-anak ini tidak mahu menjaga ibubapa mereka disebabkan dendam atas sikap orang tua mereka yang pilih kasih semasa membesarkan mereka.
“Apabila ibu bapa mencapai usia tua dan memerlukan sokongan emosi, kewangan, atau penjagaan, anak-anak yang pernah merasa diabaikan mungkin enggan atau kurang motivasi untuk menjaga ibu bapa mereka,” jelasnya.
Menurut Hushim, bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa perlu berusaha untuk berlaku adil terhadap semua anak, memberikan kasih sayang dan perhatian yang seimbang.
“Dengan cara ini, hubungan yang positif antara ibu bapa dan anak-anak dapat dipelihara, dan apabila tiba masa ibu bapa memerlukan bantuan pada usia tua, anak-anak akan lebih bersedia untuk memberikan sokongan dengan ikhlas dan rasa tanggungjawab,” jelasnya.
Mengulas lanjut berkenaan akta yang bakal dilaksanakan dalam membela nasib warga emas dengan memperuntukkan satu undang-undang khas merupakan langkah terbaik sebagai persediaan melangkah sebagai negara tua.
“Undang-undang itu bagus untuk dilaksanakan terutama kepada anak-anak yang memang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedang menyemak semula Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) bagi memantapkan aspek penjagaan dan kebajikan golongan itu susulan jangkaan Malaysia akan mencapai taraf negara tua menjelang 2030.
“Kementerian akan mendapatkan pandangan dan input daripada agensi peneraju serta pelaksana bagi penghasilan PTWEN 2023-2030,” katanya. – UTUSAN










