SEGAMAT: Sediakan payung sebelum hujan. Itu perumpamaan yang bersesuaian bagi ramai penduduk Kampung Seberang Batu Badak, di sini yang kini memiliki dan menyediakan bot gentian kaca di kediaman masing-masing untuk menghadapi bencana banjir yang berlaku saban tahun.
Bot tersebut akan digunakan untuk menyelamatkan harta benda dan nyawa tatkala banjir melanda jika memaksa mereak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagi Raja Shahrin Ismail, 51, bot dan enjin yang dibeli sejak beberapa tahun lalu itu menjadi kenderaan utama ketika musim banjir bagi memindahkan barang berharga dan berulang-alik ke rumah.
“Bot ini adalah hasil titik peluh saya bekerja sebagai nelayan sungai bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan 10 ahli keluarga ketika banjir. Bot dan enjin yang bernilai lebih RM6,000 ini banyak membantu saya sekeluarga dan penduduk setempat untuk keluar dari kawasan yang ditenggelami banjir.
“Kampung ini berhampiran Sungai Segamat, iaitu kira-kira 200 meter dan apabila paras air sungai ini naik, pasti rumah kami juga dinaiki air. Kami anggap banjir sudah sebati dengan kehidupan kerana rumah terletak dekat dengan sungai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Raja Shahrin memberitahu, banjir pada 2006, 2011 dan awal Januari lalu adalah paling teruk apabila rumah penduduk di kawasan itu ditenggelami air sehingga paras bumbung.
Air di kawasan tersebut akan mengambil masa lama untuk surut dan boleh sehingga sebulan untuk kembali seperti biasa akibat banjir termenung.
“Ketika banjir, bot digunakan untuk menyelamat dan hantar bantuan makanan kepada penduduk yang menjaga barang di rumah mereka. Kami juga bantu pihak berkuasa selok-belok laluan kampung dengan menaiki bot sewaktu banjir,” katanya.
Tinjauan di kampung tersebut mendapati para penduduk mulai sibuk memeriksa dan meletakkan bot mereka berhampiran kediaman, malah ada yang mengunci bot berkenaan supaya tidak dicuri atau hanyut arus banjir.
Kampung Seberang Batu Badak antara kawasan yang sering dilanda banjir di daerah ini. – UTUSAN











