PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diunjurkan memperoleh caruman tambahan sebanyak RM12 bilion setahun jika 2.5 juta pekerja asing di negara ini mencarum dengan dana persaraan tersebut.
Jumlah itu diperoleh berdasarkan kadar peratusan caruman semasa rakyat Malaysia iaitu 11 peratus bagi pekerja dan 13 peratus bagi majikan.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 mulai Februari 2025, caruman 24 peratus daripada pekerja dan majikan itu akan dapat menjana RM1 bilion sebulan kepada KWSP.
Bagaimanapun katanya, sebagai permulaan peratusan dicadangkan adalah pada kadar enam peratus pekerja dan lapan peratus majikan.
“Peratusan rendah ini perlu dilaksanakan supaya tidak membebankan majikan yang menggajikan pekerja asing. Pada masa sama golongan pekerja juga tidak tertekan apabila sebahagian kecil pendapatan mereka dipotong untuk simpanan masa depan.
“Bagaimanapun, kadar enam peratus untuk pekerja dan lapan peratus kepada majikan perlu bersifat progresif iaitu akan dinaikkan secara berkala dalam tempoh masa tiga tahun,” katanya.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat lalu mengumumkan kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa.
“Kerajaan komited memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, caruman KWSP oleh pekerja asing akan memberikan situasi menang-menang kepada KWSP dan golongan pekerja.
“Antara lain, KWSP akan mempunyai modal aliran tunai yang berlebihan untuk dilaburkan serta mendatangkan keuntungan dan ini akan mampu meningkatkan pendapatan negara melalui kutipan hasil cukai dan dividen yang boleh dibayar kepada kerajaan.
“Ia juga memberi manfaat kepada pekerja asing dari segi pemberian dividen setiap tahun sekitar lima hingga enam peratus setahun yang diumumkan oleh KWSP dan ini akan meningkatkan kuasa membeli warganegara asing.
“Akhir sekali melalui pungutan caruman KWSP ini juga dapat membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mentaksir dan melihat tangga gaji warganegara asing yang layak untuk dikenakan cukai sebagai hasil tambahan kepada negara,” katanya.
Berdasarkan Tinjauan Ekonomi 2025, bilangan pekerja asing berkemahiran rendah yang berdaftar menunjukkan peningkatan sebanyak 41.1 peratus kepada 2.5 juta sehingga Ogos 2024 berbanding tempoh sama pada 2023.
Ia membabitkan Bangladesh yang tertinggi iaitu 37.8 peratus, Indonesia (23.7 peratus) dan Nepal (16.7 peratus).
Dari sudut pekerjaan, pekerja asing banyak terlibat dalam sektor pembuatan sebanyak 31.5 peratus, 28.4 (pembinaan) dan perkhidmatan (18.2 peratus).
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, caruman KWSP oleh pekerja asing memberi manfaat sama seperti diperoleh majoriti rakyat Malaysia.
Katanya, pekerja asing boleh bergantung harap kepada KWSP untuk mengembangkan dana persaraan mereka.
“Mungkin juga dari segi hubungan diplomatik ia akan lebih harmoni kerana kerajaan Malaysia dilihat prihatin dalam menjaga kebajikan pekerja yang sekali gus akan melancarkan proses untuk mendapatkan pekerja asing pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










