Noki: Kontroversi perlu ada - Utusan Malaysia

Noki: Kontroversi perlu ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Noki mungkin tidak segah rakan seanggota iaitu MK dan Tuju yang merupakan sebahagian kumpulan K-Clique. Namun segalanya berbeza dia memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL35) menerusi lagu Gila kolaborasi Kaka dan Loca B.

Sejak kemenangan itu, Noki atau nama lengkapnya Ahmad Ikhwan Aji, 27, sentiasa menjadi perbualan orang ramai. Pendatang baharu yang dipuji mempunyai cita rasa tersendiri dan sekali gus meraih populariti tanpa bertanding.

Mengucap syukur kepada Allah di atas percaturan-Nya, anak jati kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu dengan rasa rendah diri memberitahu, kemenangan tersebut hanyalah bersifat sementara sekiranya tidak ada karya terbaharu yang mengekalkannya di gelanggang seni suara.

“Alhamdulillah… bagi saya impak kemenangan AJL hanya setahun sahaja dan akan ada lagi pemenang baharu. Kalau saya tidak konsisten untuk menaikkan nama sendiri mahupun kumpulan, tidak hairanlah andai dilupakan sebab saya tidak bekerja keras.

“Sebaik melangkah masuk ke industri seni ini, saya sering memerhatikan gerak-geri penyanyi-penyanyi yang sudah merangkul anugerah di pentas berprestij itu.

“Dalam masa sama saya juga ada bertanyakan kepada mereka, apakah perbezaan sebelum dan selepas kemenangan yang telah dilalui? Mana yang baik-baik itu saya jadikan pengajaran,” tuturnya yang sedar untuk mengekalkan populariti dan berada di kemuncak kejayaan tidak mudah.

Kongsi Noki, perbezaan ketara perjalanan seninya selepas kemenangan lalu, apabila ada pihak yang sanggup menerima ‘harganya’ walaupun besar.

“Selain ada kelompok peminat baharu, dari segi harga yang diletakkan dalam invois, pihak terbabit dengan semudah itu sahaja meluluskannya,” kongsinya.

Mengulas senario itu, Noki berpendapat apabila seseorang artis meraih anugerah atau pencapaian hasil kerja keras adalah logik untuk mereka menaikkan harga diri.

“Untuk mengekalkan apa yang dimiliki sekarang ini supaya orang tidak rugi bayar adalah dengan menunjukan kualiti karya dan komitmen diri dalam menggalas tanggungjawab.

“Selain itu, kualiti prestasi berkolaborasi bersama penyanyi lain,” jelasnya yang sedang menjinakkan diri dalam bidang lakonan.

Menyentuh mengenai kontroversi, menariknya anak bongsu daripada lima adik-beradik itu percaya ia adalah warna-warni kehidupan seseorang artis yang memungkinkan kerjaya seni atau nama mereka terus mekar di arena seni hiburan tanah air.

“Bagi saya tak boleh juga kalau kita ini terlalu bersih. Adakalanya perlukan juga cuma bukanlah kontroversi yang boleh menjatuhkan reputasi sendiri atau mematikan kerjaya.

“Ia penting untuk sentiasa nampak relevan dan sentiasa ada keluar cerita mengenai kita,” katanya.

Bercakap tentang pembabitan lakonan, bukan tamak tetapi anak muda itu bijak untuk menjana pendapatan terutama di kala pendemik ini.

Jadi tidak salah kiranya bagi Noki mencuba peluang baru meskipun masih terlalu awal untuk mengukur sama ada berbakat atau tidak.

“Sebagaimana saya mencuba menghasilkan lagu yang fresh yang belum tentu bagaimana reaksi pendengar, begitu juga dengan dunia lakonan.Penonton boleh terima atau sebaliknya. Pasti akan ada yang mengkritik, jadi saya cabar diri sendiri.

“Namun saya tetap akan dahulukan kerjaya menyanyi kerana di situlah titik permulaan bersama kumpulan K-Clique,” katanya yang bakal terlibat dalam drama komedi romantik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×