RM5 juta bersih Sungai Tebrau

RM5 juta bersih Sungai Tebrau

PESERTA bergotong-royong mengangkat pokok bakau sempena Program Penanaman Pokok Bakau di pesisiran Sungai Tebrau, Bakar Batu, Johor Bahru. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Ban­da­raya Johor Bahru (MBJB) mem­peruntukkan sebanyak RM5 juta setahun bagi projek pembersihan sampah di Sungai Tebrau selain pemasangan pe­rangkap sampah log boom.

Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Mohd. Farid Hassan berkata, peruntukan tersebut bagi membersihkan Su­ngai Tebrau yang tercemar dengan sampah-sarap.

“Sampah di sungai ini dikutip dua kali sehari dengan jumlah hampir dua tan metrik setiap hari. Jadi, bayangkanlah begitu banyak sampah dikutip setiap hari di Su­ngai Tebrau sahaja dan itu memerlukan peruntukan besar.

“Kita usaha untuk kurangkan sampah, tetapi dalam masa sama kesedaran komuniti dan agensi lain juga perlu untuk memastikan sungai ini bersih dan terpelihara,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Program Penanaman Pokok Bakau di pesisiran Sungai Tebrau, Bakar Batu anjuran Jawatankuasa Pengindahan dan Keceriaan LA21 MBJB dengan kerjasama CIMB Bank.

Pada program tersebut seba­nyak 500 anak pokok bakau dan api-api ditanam di sepanjang Su­ngai Tebrau sebagai usaha menjaga ekosistem di kawasan itu.

Mohd. Farid berkata, sampah-sarap yang hanyut di sungai itu tersangkut di pokok bakau dan dengan memasang log boom memudahkan kutipan dilakukan.

Katanya, penanaman pokok bakau itu juga dapat meningkatkan lagi kepelbagaian spesies flora dan fauna di Sungai Tebrau serta mengurangkan risiko hakisan tanah akibat arus kuat.

“Dalam setahun kita sasarkan sebanyak 10,000 pokok teduhan ditanam di kawasan pentadbiran MBJB dan setakat ini lebih 8,500 pokok ditanam termasuk 500 pokok bakau dan api-api,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×