RM1 bilion ikhtiar tangani kos sara hidup rakyat

RM1 bilion ikhtiar tangani kos sara hidup rakyat

JUALAN Rahmah yang diadakan dari semasa ke semasa di seluruh negara akan diteruskan tahun hadapan berikutan sambutan yang baik kerana mampu menawarkan harga barang pada kadar lebih rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan RM1 bilion untuk melaksanakan ikhtiar mena­ngani kos sara hidup rakyat dengan lebih meluas.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia meliputi Program Payung Rahmah yang ditingkatkan peruntukan kepada RM300 juta ketimbang RM200 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, Jualan Rahmah akan diperhebat bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Nege­ri (DUN) setiap bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

PROGRAM

“Sebanyak RM700 juta dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang, termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya.

“Selain itu, RM250 juta disediakan bagi mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa termasuk memperluas ke kawasan baharu di Magandai, Kota Marudu, dan Nanga Pelawan, Bintulu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu beliau yang juga Perdana Menteri berkata, seramai 4.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sebulan pada tahun hadapan.

Katanya, peruntukan STR dan SARA ditingkatkan iaitu kepada RM13 bilion ketimbang RM10 bilion untuk tahun depan.

“Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA seba­nyak RM100 sebulan ketimbang 700,000 penerima tahun ini.

“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara,” katanya.

TUNAI

Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) naik kepada RM2.9 bilion.

Ini bermakna kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rak­yat miskin akan ditingkatkan.

Pecahan itu merangkumi kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 ketimbang RM500.

Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan iaitu daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia enam tahun dan ke bawah serta daripada RM150 kepada RM200 seorang bagi anak lingkungan usia 7 hingga 18 tahun tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga.

Untuk Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada RM150 ketimbang RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×