PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti 5,648 lokasi berisiko tinggi banjir di seluruh negara dengan menyediakan 737 pam bergerak bagi menanganinya sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pam bergerak itu bertujuan menyedut air di satu-satu kawasan banjir bagi membantu mencepat air surut.
Kata beliau, pada masa sama, kerajaan menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web bagi tujuan ramalan serta amaran banjir.
Menurutnya, ketika ini, Sarawak adalah negeri yang mempunyai hotspot banjir paling tinggi dan dengan cuaca yang tidak menentu serta MTL menyebabkan risiko banjir besar terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
“Seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga di seluruh negara untuk berdepan musim banjir akibat ketidaktentuan cuaca semasa selain musim MTL 2024/2025.
“Semua pegawai dan anggota itu akan menjalankan tugas masing-masing dengan sokongan sebanyak 37,127 unit pelbagai aset yang membabitkan sebanyak 2,031 unit bot penyelamat, 1,399 unit jentera kenderaan pacuan empat roda, 1,646 unit jentera kenderaan berat, 31 unit helikopter, 30,260 unit jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa dan 760 unit jambatan panel keluli bermodular,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia mengaktifkan 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mempunyai kapasiti menempatkan 2,158,743 mangsa di seluruh negara.
NADMA juga menyalurkan peruntukan bantuan bencana sebanyak RM232 juta kepada semua negeri untuk diagihkan kepada ketua isi rumah mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Khairul Shahril berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan JKM untuk memastikan bahawa bekalan makanan yang diberikan kepada mangsa banjir boleh disalurkan secepat mungkin.
Kata beliau, sebelum ini, terdapat isu yang sering timbul apabila bantuan makanan disediakan lewat kepada mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS.
“Penggunaan makanan retort sebagai pek makanan semasa bencana telah diperkenal supaya makanan dapat disediakan dengan pantas dengan kualiti yang terjamin dari segi kebersihan, keselamatan dan kandungan khasiatnya pada hari pertama di PPS.
“Penggunaan pek makanan retort ini memudahkan kerana bekalan makanan tersebut boleh digunakan dengan segera dan selamat untuk dimakan dalam tempoh yang panjang.
“JKM akan menyediakan keperluan asas kepada semua mangsa banjir di PPS mengikut SOP yang sewajarnya,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab menyelaras semua aktiviti dan kerjasama sebelum, semasa dan selepas bencana termasuk aktiviti pencegahan dan mitigasi risiko bencana, aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas bencana serta aktiviti pemulihan dan pembangunan semula.
Jelasnya, NADMA bertindak sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat. Setakat ini kerjasama di antara NADMA dan agensi-agensi yang terlibat berjalan dengan baik.
“NADMA juga memberi penekanan kepada tahap kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti terutama yang tinggal di kawasan-kawasan hotspot dengan mengadakan program-program kesedaran pengurusan bencana supaya dapat mempersiapkan mereka untuk mampu bertindak tanpa menunggu bantuan dari pihak kerajaan.
“Kami juga sedang menaik taraf pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) bagi memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir dari segi kemudahan asas yang mencukupi di samping dapat memudahkan pemantauan operasi bencana yang lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN










