UK rayu dana untuk mangsa konflik di Asia Barat - Utusan Malaysia

UK rayu dana untuk mangsa konflik di Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Badan amal terkemuka United Kingdom (UK) melancarkan rayuan mendesak untuk mendapatkan dana bagi memenuhi  keperluan kemanusiaan yang besar di Gaza, Lubnan dan Tebing Barat yang diduduki.

Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC) mengumpulkan 15 badan amal, termasuk Oxfam dan ActionAid bagi melancarkan rayuan nasional berikutan krisis yang semakin memburuk itu.

Jelas DEC, sepanjang tahun lalu, konflik di Asia Barat meragut banyak nyawa di seluruh rantau ini, dan berjuta-juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk menyelamatkan diri. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berjuta-juta orang, termasuk beribu-ribu kanak-kanak, berhadapan dengan trauma yang hampir tidak dapat dibayangkan.

“Ahli badan amal kami memerlukan lebih banyak dana untuk memenuhi tahap keperluan yang besar. Kami meminta orang ramai untuk menderma sekarang demi menyelamatkan lebih banyak nyawa,” kata Ketua Eksekutif DEC, Saleh Saeed.

Kerajaan UK akan membantu menyelaraskan dana bagi memenuhi rayuan kemanusiaan Asia Barat berjumlah lebih 10 juta pound (RM55,956 juta).

“Penderitaan orang awam yang terjejas akibat konflik di seluruh Asia Barat sudah tidak tertanggung dan tidak boleh diterima lagi,” kata Menteri Pembangunan UK, Anneliese Dodds.

Menurut DEC, skala keperluan di Gaza adalah sangat besar, sementara tempat perlindungan dan hospital di Lubnan turut bergelut untuk menyediakan kemudahan selepas  konflik merebak bulan lepas.

Badan itu turut menekankan tentang konflik berdarah yang dialami penduduk di Tebing Barat yang diduduki.

Gabungan yang aktif mengumpul dana untuk mangsa tsunami Lautan Hindi pada 2004 dan pelarian Rohingya pada 2017 itu turut menyumbang sekitar AS$570 juta (RM2.4 bilion) semasa perang Ukraine.

Gabungan itu berkata, rayuan berkenaan pada masa ini tidak melibatkan penduduk Israel walaupun ada yang dipindahkan dan berhadapan trauma konflik.

“DEC sedang memantau keadaan terbaharu dan beberapa badan amal bersedia untuk mengembangkan respons mereka untuk memasukkan Israel jika keperluan kemanusiaan yang tidak terpenuhi dikenal pasti,” tambahnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini