PETALING JAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM48.25 bilion sepanjang 2024 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NCER juga menyaksikan sebanyak 10,529 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan direalisasikan tersebut.
Perkembangan itu, kata Anwar, dimaklumkan sewaktu beliau mempengerusikan Mesyuarat Ke-32 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), semalam.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, NCER berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM48.25 bilion. Nilai ini adalah peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“NCER juga telah menyaksikan sebanyak 10,529 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan direalisasikan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, mesyuarat turut membincangkan inisiatif-inisiatif dalam menyokong ekosistem pelaburan di NCER selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030.
“Antaranya pembangunan pusat inovasi teknologi, hab agromakanan dan peralihan tenaga,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, perancangan itu penting dalam usaha Kerajaan Madani memastikan NCER berterusan dapat menarik pelaburan terkait industri strategik yang berimpak dan bernilai tinggi.
Sementara itu, Anwar memberitahu, pembangunan kluster industri khusus dalam sektor pembuatan di Wilayah Tengah meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka akan diberi keutamaan sebagai langkah strategik di bawah Kerajaan Madani.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.
Jelas beliau, keputusan tersebut dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 7 Tahun 2024, semalam.
“Secara hatta, saya tekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan promosi Wilayah Tengah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu,” ujarnya. – UTUSAN










