ALOR SETAR: ‘Kerosakan’ di kawasan hulu Kedah iaitu Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda akibat pembukaan hutan yang amat drastik didakwa antara punca sebahagian kawasan di negeri ini dilanda banjir lumpur.
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd. Sobri Ramlee berkata, kesan penerokaan hutan di kawasan yang dikenali sebagai ‘paru-paru utara’ itu turut menjejaskan kualiti air yang disalurkan melalui beberapa empangan di situ.
Menurutnya, kerja-kerja pembalakan turut dilakukan berhampiran kawasan gigi air yang berkemungkinan dijadikan laluan lori balak berulang-alik memunggah hasil hutan itu selama ini.
“Banjir adalah fenomena biasa, lumrah alam tetapi jika banjir bersama lumpur itu disebabkan kerosakan di hulu-hulu sungai atau punca sungai di kawasan hulu. Di Empangan Ahning misalnya, hanya melalui pemantauan satelit pun kita dapat lihat di sebelah Thailand masih banyak kawasan menghijau tetapi di sebelah Malaysia betapa rakusnya pembalakan dilakukan.
“Air dari puncak-puncak bukit ini semuanya akan mengalir ke Tasik Ahning, inilah kesan kepada kualiti air yang terjejas di situ kerana berhampiran gigi air pun ada pembalakan, walhal cerun berdekatan ini tak sepatutnya dibalak tapi turut dibuat teres dengan teruk.
“Ini bukan pembalakan selektif tetapi secara ‘cuci mangkuk’ iaitu tebang habis kerana tiada lagi pokok-pokok kecil di kawasan yang diteroka itu, maka dengan hutan di hulu sudah ditebang ia tidak mampu lagi menahan larian air apabila hujan lebat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akibatnya dakwa Mohd. Sobri, aliran air dari kawasan hulu itu turut membawa bersama lumpur yang tebal ke rumah penduduk atau pekarangan kediaman mereka setiap kali banjir berlaku dalam skala besar.
Tambahnya, disebabkan itu juga kawasan hilir Kedah iaitu di sekitar Alor Setar, di sini telah mengalami banjir yang berulang kali kebelakangan ini.
“Air dari Tasik Ahning akan masuk ke Sungai Padang Terap yang turut bertembung dengan Sungai Pedu dan menjadi sungai besar lalu mengalir turun ke Sungai Kedah. Jadi berdasarkan pemahaman saya pertembungan ini yang menyebabkan banjir di hilir semakin dahsyat termasuk membawa bersama lumpur dari kawasan hulu,” katanya. – UTUSAN











