FIKIRAN kusut dan rasa letih bekerja seolah-olah ‘hilang’ apabila wanita ini melangkah ke bilik Hello Kitty di kediamannya di Kampung Lerek, Kuala Berang, Terengganu.
Dengan hanya menatap lebih 250 koleksinya membuatkan Wan Khatijah Wan Bakar, 40, rasa bahagia.
Dalam sekelip mata, wajahnya kembali ceria dengan senyuman terukir di bibir.
Katanya, bilik khas berona merah jambu lembut itu menempatkan kira-kira 100 set pinggan mangkuk dan peralatan dapur diikuti anak patung pelbagai saiz, meja mekap serta lain-lain hiasan.
Ada juga anak patung pelbagai saiz, meja mekap dan lain-lain hiasan.
Kata Wan Khatijah ia bukan sekadar berfungsi sebagai galeri simpanan, sebaliknya lokasi terapi di kala penat atau sedih.
“Di peringkat awal saya tidak sangka bilik ini ada ‘aura’ berbeza tetapi lama-kelamaan baru saya sedar tentang keberkesanannya.
“Apabila duduk di sini, jiwa rasa tenang melihat pinggan mangkuk, periuk dan pelbagai barangan Hello Kitty lain kerana setiap satunya ada kenangan manis di sebaliknya.
“Dek kerana leka menatap semua koleksi, ada kalanya sehingga sejam saya me time dalam bilik itu,” katanya kepada Seri.

Menurut Wan Khatijah, bilik Hello Kitty itu siap dibina sejak 16 tahun lalu setelah suami, Azmi Talib mengubahsuai rumah mereka.
Dahulunya, ia merupakan kawasan garaj kereta dan proses mengindahkannya dibuat secara berperingkat-peringkat hingga lengkap sepenuhnya kini.
Bilik khas itu turut dilengkapi meja makan dan dapur kering.
Namun dapur itu tidak digunakan dan sekadar hiasan semata-mata kerana Wan Khatijah memiliki dapur lain bagi aktiviti memasak.

MINAT SEJAK SEKOLAH
Wan Khatijah meminati Hello Kitty sejak lebih 25 tahun lalu ketika menuntut di sekolah menengah.
Ibu kepada dua anak berusia 16 dan 18 tahun ini tertarik dengan Hello Kitty kerana karakternya yang comel di samping aksesori berwarna merah jambu.
“Saya merupakan peminat warna pink dan kebetulan nama gelaran saya, Kattie yang mirip Kitty.
“Masa sekolah dulu saya tidak banyak koleksi tetapi bila bekerja, saya mula rancak mengumpul barangan dengan kebanyakannya dibeli dalam talian,” kongsi pengusaha perniagaan hamper ini.
Antara barangan paling disayangi ialah set pinggan mangkuk dan peralatan dapur.
Dek kerana minat, bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu ini tidak kisah berhabis melebihi RM20,000 bagi mengumpul keseluruhan koleksinya.

Bagaimanapun Wan Khatijah bersyukur kerana suami dan dua anak menyokong hobinya itu.
“Penghargaan terbesar tentunya kepada suami kerana mengizinkan saya membuat bilik khas di rumah, malah sanggup membayar kos tempahan langsir bernilai RM1,500.
“Hobi ini turut disokong kawan-kawan dan setiap kali hari lahir pasti saya mendapat kek berbentuk Hello Kitty,” katanya.
KANAK-KANAK TAK NAK BALIK
Kecomelan bilik berkenaan membuatkan ramai kanak-kanak berkunjung ke rumahnya meronta tidak mahu balik.
Wan Khatijah berkata, rataratanya terpesona dengan hiasan dalaman dan deretan anak-anak patung yang tersusun di dalam almari.
“Paling lucu apabila mereka minta keluarga untuk bina bilik yang sama di rumah masingmasing,” katanya tertawa.
Bilik comel itu sering menjadi tempat berkumpul sanak saudara dan kenalan rapat terutama pada Hari Raya Aidilfitri.
“Tetamu tidak mahu duduk di ruang tamu sedia ada kerana teruja dengan dekorasi di ruangan ini,” katanya yang aktif berkongsi mengenai hobinya itu di akaun media sosial.

PANGKU HELLO KITTY 10 JAM
Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Wan Khatijah ialah terpaksa memangku anak patung Hello Kitty bersaiz XXL selama lebih 10 jam di dalam van.
Katanya, barangan itu dibeli ketika lawatan ke Hatyai beberapa tahun lalu.
“Pada hari terakhir, saya nampak anak patung itu dijual di kedai dan kawan-kawan mengusik tak mahu bawa balik ke.
“Demi minat, saya sanggup memangkunya berjam-jam di dalam van hingga sampai ke Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Khatijah selesa dengan hobinya dan tidak berhasrat untuk berhenti daripada melakukan aktiviti tersebut.
“Hingga kini saya tidak putus-putus membeli barangan dapur dan aksesori sarung telefon serta rantai kunci,” katanya.

SANGGUP PAKAI BAJU PINK
Kalangan peminat fanatik Hello Kitty cenderung menempah baju kurung atau dress bercorak kartun ini.
Ketika ditanya apakah dia sanggup mengikut jejak langkah sama, lantas dibalas dengan anggukan.
Wan Khatijah berkata, sudah lama hatinya teringin untuk bergaya dengan pakaian berkenaan namun, sehingga kini masih tidak berkesempatan.
Lebih-lebih lagi dengan kesibukan tugasnya dalam politik di samping kerjaya hakiki.
“Saya sanggup pakai jika ada acara yang sesuai atau sekadar suka-suka untuk tujuan bergambar.
“Cuma saya tidak rasa suami dan anak-anak mahu tampil sedondon kerana pasti mereka segan,” katanya.










