PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menegaskan pihaknya sentiasa memantau dan bertindak mengikut perundangan bagi menyelesaikan masalah gaji yang membelenggu pemain-pemain Liga Malaysia (Liga M).
Semua sedia maklum berkenaan masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan beberapa pasukan lain dalam saingan Liga M, namun ia masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali berkata, pihaknya sentiasa bersuara dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam membantu pemain-pemain ‘bebas’ daripada masalah dihadapi.
Jelasnya, di sebalik kelantangan bersuara, pihaknya juga sering ‘disindir’ seolah-olah mahu menjatuhkan bola sepak tanah air hanya kerana menyuarakan mengenai isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pasukan Liga M.
“Bukan kita PFAM tidak bersuara atau tidak mengambil serius tentang perkara ini (isu tunggakan gaji) tetapi ada segelintir kelab apabila kita bersuara lebih ada yang merajuk.
“Jadi kita mengambil pendekatan mengikut proses dan perundangan yang betul. Kita sentiasa berhubung dengan pemain-pemain bagi mengetahui perkembangan terkini.
“Masalah ini bukan hanya tentang pasukan Kedah (KDA FC),tetapi pasukan-pasukan lain yang masih belum selesaikan isu gaji seharusnya bertindak secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Difahamkan Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa menanggung hutang mencecah RM10 juta dan boleh dikatakan kantung kelab ‘kering’ dan hanya mengharapkan ‘ihsan’ pemain untuk turun beraksi bersama pasukan.
Jumlah tersebut boleh dikatakan agak besar, berdasarkan kepada tanggungan tunggakan gaji sejak Februari lalu termasuklah beberapa bayaran lain yang gagal diselesaikan KDA FC.
Selain KDA FC, beberapa kelab lain juga difahamkan turut berdepan masalah untuk membayar gaji pemain hingga berlaku tunggakan berbulan-bulan. – UTUSAN










