Ajaran sesat: Hukuman ringan, tidak menakutkan

Ajaran sesat: Hukuman ringan, tidak menakutkan

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman rendah atau ringan, dan kekangan untuk menyiasat kumpulan ajaran sesat menjadi faktor mereka masih berani menyebarkan doktrin songsang kepada orang ramai.

Ini kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah terbatas kepada hukuman ‘3-5-6’ iaitu terhad penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum RM5,000 dan enam kali sebatan sekali gus menunjukkan kelemahan aspek undang-undang menyebabkan mereka sekali lagi mengamalkan ajaran itu walaupun pernah didakwa dan ditahan pihak berkuasa agama.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, setakat hari ini hukuman bagi pesalah kes ajaran sesat masih rendah dan tidak setimpal untuk mengekang penularan ajaran sesat yang semakin berani menyebarkan doktrin kepada masyarakat.

Beliau mengambil contoh di Wilayah Persekutuan di mana kesalahan mengembangkan doktrin agama selain Islam dalam kalangan orang Islam di bawah Seksyen 6 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan undang-undang sedia ada masih belum cukup untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada pengamal ajaran sesat.

“Selain itu di Selangor, kesalahan doktrin palsu di bawah Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah hanya meletakkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam kali atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Berbanding Selangor, hukuman di Wilayah Persekutuan lebih rendah daripada kadar hukuman bagi kesalahan sama di negeri Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

GISBH merupakan bekas pengikut kumpulan al-Arqam yang pernah diharamkan apabila pengaruh pengasas, Ashaari Muhammad masih kuat dalam kumpulan itu.

Kumpulan itu masih meneruskan pengaruhnya dalam masyarakat melalui perniagaan dan aktiviti sosial, meskipun tidak lagi secara terang-terangan menyebarkan ajaran Al-Arqam.

Mengulas lanjut, Musa berkata, daripada segi logiknya ke­salahan yang melibatkan ajaran sesat kebiasaannya melibatkan pengikut yang ramai terdiri daripada mereka yang terpengaruh dengan ajaran itu.

“Ia bukan sahaja melibatkan lelaki dan perempuan, suami dan isteri malah melibatkan anak-anak. Jika kes dibicarakan di mahkamah, sudah tentu akan memakan masa yang lama sebelum hukuman dijatuhkan.

“Sedangkan hukuman yang mahkamah boleh jatuhkan adalah terlalu rendah, tidak menakutkan atau menginsafkan pesalah,” katanya.

Beliau justeru itu menggesa kerajaan meningkatkan hukuman kesalahan jenayah Syariah telah dibincangkan sekian lama dengan menambahbaik Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang masih belum dimuktamadkan.

“Adalah disarankan agar usaha meminda Akta 355 disegerakan supaya menjadi sebahagian usaha dasar kerajaan dalam membanteras kesalahan yang melibatkan ajaran sesat dan doktrin agama palsu,” katanya.

Namun katanya, usaha meningkatkan hukuman kesalahan jenayah syariah telah dibincangkan sekian lama dan sedang mencari jalan penyelesaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×