PETALING JAYA: Kuwait menyatakan tiada halangan buat Malaysia untuk mendapatkan jet tempur FA 18 Hornet milik tentera udaranya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Kuwait, Sabah Al-Khalid Al-Sabah, beliau menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan antara dua negara dalam pelbagai bidang terutamanya pertahanan.
Katanya, antara lain, beliau juga memaklumkan hasrat Malaysia untuk memperoleh jet tempur milik Tentera Udara Kuwait.
“Beliau memahami hasrat dan keperluan Malaysia dan menyatakan tiada halangan mengenainya,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Mohamed Khaled tiba di Kuwait pada Ahad bagi lawatan kerja rasmi bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.
Terdahulu, Mohamed Khaled mengunjungi Timbalan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah bagi menyatakan hasrat sama yang membawa kepada persetujuan kedua-dua negara untuk menubuhkan jawatankuasa bersama.
“Jawatankuasa bersama ditubuhkan bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, dalam pertemuan dengan Sheikh Fahad yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh dan memperkasakan kerjasama pertahanan antara dua negara.
Katanya, komitmen itu akan dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat akhir.
“Hubungan sedia ada antara kedua negara akan terus ditingkatkan, meliputi latihan dan pertukaran pegawai tentera, perkongsian maklumat serta penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi pertahanan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Mohamed Khaled berkata, beliau juga mengambil kesempatan berkongsi pendirian tegas Malaysia mengenai situasi di Gaza dan selatan Lubnan.
“Ketegangan perlu dihentikan dan bantuan kemanusiaan perlu segera disalurkan,” katanya. – UTUSAN










