PETALING JAYA: XOX dan ONEXOX baru-baru ini menganjurkan program agihan makanan bersempena perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelab Bola Sepak Perak (PFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ia sebagai sebahagian daripada kempen ganjaran kesetiaan untuk pelanggan yang paling konsisten dalam pembayaran dan setia di bawah pelan mudah alih khas ONEXOX dan PFC-The Bos Gaurus 50 (TBG50).
Program berlangsung di Stadium Ipoh, Perak dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ONEXOX, Bobie Farid Shamsudin.
Bobie Farid berkata, program ganjaran kesetiaan itu tepat pada masanya untuk peminat PFC yang sentiasa menyokong bukan sahaja pasukan
PFC tetapi juga dengan menjadi pengguna Pelan TBG50.
Kata beliau, program itu merupakan penghargaan yang tulus kepada pengguna, yang setia menggunakan pelan dan perkhidmatan mudah alih ONEXOX.
“Kami melihat ini sebagai satu tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam diri mereka terhadap kami sebagai penyedia perkhidmatan mudah alih pilihan mereka dalam satu tempoh jangka masa.
“Kami telah melakukan pelbagai program ganjaran kesetiaan sebelum ini, dan kami memutuskan untuk melakukannya secara berbeza kali ini dengan mengedarkan barangan makanan. Ini mengambil kira situasi ekonomi semasa dan cabaran yang dihadapi oleh ramai orang, walaupun dalam menyediakan keperluan asas seperti makanan.
“Kami berharap ini akan menjadi ganjaran yang bermakna buat mereka dan pada masa yang sama, ini juga satu cara untuk meningkatkan produk jenama tempatan kita. Kami mengambil pendekatan serampang dua mata di sini, iaitu ‘win-win’ untuk kedua-dua pegguna kami dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, program ganjaran kesetiaan itu yang pertama dijalankan untuk tahun ini dan semasa acara tersebut, sejumlah peket beras 5kg telah diagihkan kepada pelanggan-pelanggan setia Pelan TBG50 yang telah membuat pembayaran tepat pada masa sekurang-kurangnya selama empat bulan.
“XOX dan ONEXOX juga telah melanjutkan program ganjaran kesetiaan itu sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) mereka; di mana pelanggan juga boleh memilih untuk mendermakan ganjaran mereka kepada badan amal sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memberi kembali,” katanya.
Pelan TBG50 adalah satu daripada pelan mudah alih XOX dan ONEXOX yang diperkenalkan untuk menyokong PFC. Pelan mampu milik itu dilancarkan pada 29 Mac 2023, dipakejkan dengan data dan masa berbual tanpa had. Sehingga hari ini, terdapat 6,000 pengguna Pelan TBG50 di seluruh
negara.
ONEXOX merupakan produk telekomunikasi di bawah XOX, di mana XOX ialah Operator Rangkaian Maya Mudah Alih Malaysia (MNVO) pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Pada masa ini, ONEXOX mempunyai sejumlah dua juta pengguna mudah alih di seluruh negara. – UTUSAN










