PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin dijangka mudah mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti bagi penggal 2024-2027.
Pada masa sama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melepaskan jawatan Timbalan Presiden sebelum ini juga diramalkan menduduki satu lagi kerusi Naib Presiden tersebut.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, ketiga-tiga tokoh dalam Bersatu tersebut merupakan personaliti yang paling dominan berbanding tiga lagi pencabar iaitu A’ziss Zainal Abiddin, Datuk Razali Idris dan Mohd. Rafiq Abdullah.
Beliau berkata, Ronald Kiandee perlu mendapat tempat dalam kalangan Naib Presiden memandangkan Ahli Parlimen Beluran itu merupakan ‘pintu masuk’ Bersatu ke Borneo dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah semakin dekat.
“Walaupun Ronald Kiandee merupakan ahli politik bukan Melayu tetapi beliau ada pengaruh besar dalam parti malah dilihat sangat setia.
“Beliau sangat konsisten dengan Bersatu malah seolah-olah bukan dari Borneo, jadi tidak mustahil beliau akan mendapat undian tertinggi pada pemilihan akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahmad Faizal bersama Ronald dan Radzi antara enam calon disahkan layak bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti berkenaan.
Mazlan berkata, tiga lagi yang menyertai persaingan kerusi Naib Presiden iaitu A’ziss, Razali dan Mohd. Rafiq belum lagi dilihat sebagai dominan dalam parti berbanding calon lain.
Sebaliknya, beliau berkata, ketiga-tiga mereka perlu membuktikan ketahanan dalam politik terlebih dahulu sebelum mendapat tempat ‘Top 5’.
“Ahmad Faizal dijangka menang kerana pengorbanannya melepaskan kerusi Timbalan Presiden bagi membolehkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berada di jawatan tersebut,” katanya. – UTUSAN










