PETALING JAYA: Harga barangan dijangka meningkat luar biasa menjelang sambutan Hari Raya Aidilfiri pertengahan bulan depan ekoran manipulasi harga pihak pembekal, mainan orang tengah dan kenaikan kos makanan ternakan.
Para peniaga di seluruh negara yang ditemui meramalkan, jika trend peningkatan harga sekarang berterusan, tidak mustahil menjelang hari raya orang ramai terpaksa berbelanja lebih daripada biasa untuk barangan keperluan.
Berdasarkan anggaran mereka, harga daging lembu tempatan dijangka melonjak kepada RM48 hingga RM50 sekilogram berbanding RM35 harga semasa, manakala ayam proses diramal naik daripada RM6.50 sekilogram kepada RM14.
Di beberapa buah negeri, para peniaga memberitahu, harga ayam proses pada waktu ini sudah mencecah RM10 sekilogram dan mereka menjangkakan ia akan meningkat sehingga RM14 sekilogram berbanding RM6.50 sekilogram siling yang ditetapkan kerajaan.
Selain ayam proses, antara barangan yang dilaporkan bakal mencatat kenaikan harga luar biasa adalah beberapa jenis sayuran.
Tinjauan Utusan Malaysia di seluruh negara juga mendapati harga barangan di pasar-pasar pagi menunjukkan aliran meningkat.
Di PULAU PINANG, harga ayam proses dijangka terus melonjak kepada RM12 hingga RM13 sekilogram menjelang Hari Raya meskipun harga semasa yang dijual antara RM7.90 hingga RM10 sekilogram telah pun membebankan pengguna.
Peniaga ayam di Pasar Tanjung Bungah, Azhar Alias, 42, berkata, kenaikan harga ayam berlaku secara berperingkat sejak beberapa minggu lalu sebelum Ramadan dan mencecah RM10 sekilogram minggu ini.
“Kami terima ayam pun pada harga mahal dan terpaksa jual pada kadar RM10 untuk menampung kos dan mungkin harga ini akan meningkat beberapa minggu lagi,” katanya.
Di KEDAH, peniaga ayam di pasar besar di sini tidak menolak kemungkinan harga ayam boleh mencecah lebih RM10 sekilogram menjelang Aidilfitri.
Kebanyakan peniaga di pasar ini menjual ayam pada harga RM8 hingga RM9 sekilogram pada dua hari sebelum Ramadan lalu.
Peniaga ayam, Syed Zainon Syed Hamid, 63, berkata, dia percaya harga ayam bersih standard akan naik beberapa kali lagi sehingga Aidilfitri.
“Kenaikan mendadak itu berikutan pembekal meletakkan harga ayam yang tinggi menyebabkan peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga,” katanya.
Di PAHANG, peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan, Muhammad Nazri Ishak, 45, tidak menafikan ketika ini harga ayam proses agak mahal berbanding seminggu sebelum puasa.
“Sebelum puasa harganya sekitar RM8 hingga RM8.60 sekilogram tetapi meningkat RM9.60 sebaik sahaja umat Islam mula berpuasa dan hari ini dijual pula pada harga RM9.90 sekilogram,” katanya.
Di PERLIS, harga barang basah khususnya ayam segar, sotong dan sawi sejak awal bulan lalu sehingga memasuki Ramadan didapati mengalami kenaikan mendadak di negeri ini.
Tinjauan di Pasar Besar Arau di sini mendapati, ayam segar dijual pada harga RM8.20 sekilogram berbanding RM7.90 pada bulan lalu manakala sotong bersaiz sederhana pula naik RM5 sekilogram iaitu daripada RM20 minggu lalu kepada RM25 ketika ini.
Harga sawi dari Cameron Highlands pula meningkat cukup ketara sehingga 90 peratus sejak awal tahun iaitu daripada RM10 sebakul membabitkan berat kira-kira 10 kilogram meningkat kepada RM90.
Di MELAKA, harga ayam di Pasar Besar Melaka melonjak secara tiba-tiba semalam membuatkan peniaga kian resah apabila pelanggan enggan membeli kerana disifatkan terlalu mahal berbanding beberapa hari sebelum ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga ayam proses dijual pada harga RM9.20 sekilogram iaitu harga tertinggi berbanding sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dengan harga RM8.60 sekilogram.
Turut mengalami kenaikan ketara ialah ikan kembong hitam mencecah RM22 sekilogram, ikan selar (RM20) dan sotong (RM40 hingga RM42).
Di JOHOR, harga ayam di beberapa pasar awam dan pasar raya sekitar bandar raya ini mencecah RM9.50 bagi setiap kilogram, berbanding hanya RM7.50 ke RM7.80 sebelum Ramadan lalu.
Tinjauan di Pasar Awam Ulu Tiram mendapati harga ayam di situ antara yang tertinggi setakat ini iaitu RM9.50 kg, bagaimanapun harga barangan segar itu murah 30 sen di Pasar Awam Larkin, sementara di Pasaraya Kip Mart Tampoi masih berada dalam lingkungan RM8.50 kg.
Tinjauan harga daging lembu tempatan juga menunjukkan kenaikan apabila bekalan itu dijual pada harga RM40 sekilogram di beberapa pasar berbanding RM35 sebelum ini. -UTUSAN










