BEIRUT: Tentera Israel melancarkan gelombang serangan baharu di pinggir selatan Beirut, menyebabkan letupan besar-besaran, dengan api marak mencecah ke langit dan bunyi dentuman bom bergema di seluruh ibu negara Lubnan.
Bedilan bom tentera udara Israel turut dilihat berhampiran lapangan terbang antarabangsa Beirut, tepat ketika penerbangan ke Cyprus sedang berlepas.
Serangan yang begitu hampir dengan satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Beirut itu mencetus kebimbangan terutamanya kepada mereka yang cuba keluar dari negara ini.
Tentera rejim turut memaksa penduduk di pinggir selatan Beirut keluar dari kawasan itu ketika tenteranya meningkatkan serangan dari udara sejak malam tadi dengan empat daripadanya disifatkan amat ganas.
Kawasan pinggir Beirut, kubu kuat Hezbollah, menjadi sasaran utama Israel sejak minggu lalu, yang didakwa turut membunuh pengganti kepimpinan baharu kumpulan itu, Hashem Safieddine.
Semalam, sumber keselamatan Lubnan memaklumkan, Hashem tidak dapat dihubungi sejak Jumaat, selepas serangan udara Israel berhampiran lapangan terbang antarabangsa bandar itu yang dilaporkan menyasarkan beliau.
Serangan Israel sejak Jumaat di Dahiyah, kawasan kediaman dan kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut, menghalang pasukan penyelamat daripada meneruskan pencarian di lokasi serangan pada malam Khamis.-AGENSI










