PEMINAT filem Harry Potter pasti mengenali Prof. Minerva McGonagall yang dimainkan oleh pelakon veteran British, Dame Maggie Smith.
Versataliti Maggie Smith bukan hanya menyerlah untuk watak ikonik di layar perak, bahkan beliau juga menonjol di pentas teater dan siri televisyen popular seperti Downton Abbey.
Kerjaya beliau yang cemerlang sepanjang lebih lapan dekad, membuktikan dedikasi dan cintanya terhadap dunia seni lakonan.
Bermula daripada pentas teater pada 1950-an hingga peranan terakhirnya dalam The Miracle Club, kira-kira setahun yang lalu, kerjayanya dipenuhi dengan pelbagai pencapaian.
Beliau pernah mengungguli beberapa anugerah berprestij termasuk Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bagi Anugerah Akademi (Oscar).
Maggie Smith juga pernah meraih empat Anugerah Emmy dan Anugerah Tony, termasuk tujuh Anugerah Akademi Filem dan Seni Televisyen British (BAFTA) serta Anugerah Olivier di Britain.
Pada 27 September lalu, dunia perfileman dikejutkan dengan pemergian Maggie Smith pada usianya 89 tahun.
Sebagai mengenang aktres veteran ini, berikut adalah antara lima filem terbaik yang dilakonkan Maggie Smith:

OTHELLO OLEH SHAKESPEARE
Salah satu peranan awal Maggie Smith yang paling ikonik adalah sebagai Desdemona dalam karya Othello oleh Shakespeare.
Sir Laurence Olivier, yang memainkan peranan utama, menawarkan kepadanya watak itu di National Theatre pada 1963.
Karya tersebut, dengan barisan pelakon asal, diangkat menjadi filem dua tahun kemudian, sekali gus mencalonkan Maggie Smith sebagai Pelakon Pembantu Terbaik untuk Anugerah Akademi.
THE PRIME OF MISS JEAN BRODIE
Watak Jean Brodie yang dibawa Maggie Smith dalam filem ini berjaya mengangkat namanya pada 1969.
Filem ini diadaptasi daripada novel 1961 oleh Muriel Spark, yang berlatarbelakangkan Edinburgh pada 1930-an, dan watak tersebut berdasarkan guru inspirasi pengarang.
Watak Jean Brodie menjulang nama Maggie Smith sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar dan beliau seterusnya berkahwin dengan rakan pelakon, Robert Stephens.
DAVID COPPERFIELD
Maggie Smith menerima pujian untuk peranannya sebagai Betsey Trotwood dalam adaptasi BBC, David Copperfield pada permulaan abad ini.
Watak tersebut juga membawanya kepada pencalonan BAFTA dan Anugerah Emmy.
Filem itu turut dibintangi Daniel Radcliffe yang ketika itu masih kanak-kanak, sebelum mereka digandingkan sekali lagi untuk filem Harry Potter.

HARRY POTTER
Pada usia 67 tahun, generasi baharu semakin mengenali kehebatan lakonan Maggie Smith.
Beliau memikul watak Prof. Minerva McGonagall dalam Harry Potter and the Philosopher’s Stone pada 2001.
Watak itu dikekalkan dalam semua lapan siri filem tersebut dan beliau merupakan satu-satunya pelakon yang diminta khas oleh pengarang, JK Rowling.
Pada 2007, semasa penggambaran Harry Potter and The Half-Blood Prince, Maggie Smith didiagnosis kanser payudara.
VIOLET CRAWLEY
Selain Harry Potter, Maggie Smith turut membintangi satu lagi karya popular, Downtown Abbey.
Antara 2010 dan 2015, beliau memegang watak Violet Crawley, Dowager Countess of Grantham, dalam drama zaman British di ITV.
Beliau mengulangi peranannya sebagai Violet dalam filem Downtown Abbey pada 2019 dan 2022.
Namun, dalam filem terakhir, kesihatan beliau merosot sebelum dilaporkan meninggal dunia. – AGENSI









