VIENNA: Beribu-ribu penunjuk perasaan menyertai bantahan di Vienna bagi menentang kebangkitan Parti Kebebasan (FPOe) berhaluan kanan yang kini mendahului pilihan raya negara pada Ahad lalu.
FPOe memenangi hampir 29 peratus undi dalam pilihan raya umum Ahad lalu, mendahului Parti Rakyat konservatif (OeVP) dengan hanya lebih 26 peratus.
“Parti Kebebasan Austria adalah bahaya kerana ia sudah mengatakan bahawa ia mahu mentadbir mengikut imej Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban,” pelajar berusia 26 tahun, Rihab Toumi, merujuk kepada pemimpin nasionalis negara jiran Austria.
Walaupun FPOe mendahului undian, tidak ada jaminan pemimpin radikal mereka, Herbert Kickl akan diberi peluang untuk membentuk kerajaan memandangkan tiada parti lain yang sanggup bekerjasama dengan beliau.
“Keputusan ini mengejutkan dan kami tidak boleh membiarkan parti yang hanyut jauh mendapat begitu banyak sokongan tanpa berkata apa-apa,” kata pekerja social, Marianne, 53.
Penganjur mendakwa terdapat 15,000 hingga 17,000 penunjuk perasaan di tengah Vienna yang berarak ke arah Parlimen.
Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk tertulis ‘Mari kita pertahankan demokrasi’, ‘Tiada pakatan dengan rakan Putin’ serta beberapa agi slogan anti-FPOe yang lain.
Kickl turut mengkritik sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin dan kalangan dalamannya berhubung pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Penunjuk perasaan berhasrat untuk berarak setiap Khamis, selepas melakukan perkara sama Ketika sayap kanan membentuk sebahagian daripada kerajaan pakatan jangka pendek pada 2000 dan 2017.-AFP











