Bank Dunia salur bantuan kecemasan kepada pelarian Lubnan

Bank Dunia salur bantuan kecemasan kepada pelarian Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bank Dunia akan menyalurkan semula dana yang pada asalnya diperuntukkan untuk program pembangunan di Lubnan kepada bantuan kecemasan bagi pelarian yang terkesan akibat pengeboman Israel.

Menerusi kenyataan, institusi multilateral itu mempunyai peruntukan sebanyak AS$1.5 bilion (RM7 bilion) untuk program di Lubnan, dengan sebahagian dana berkenaan akan disalurkan semula.

“Bank Dunia sedang mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan untuk memindahkan sumber dalam portfolio bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat Lubnan,” menurut kenyataan institusi kewangan berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak 23 September lalu, lebih 1,000 orang terbunuh dalam kempen udara dan darat Israel di Lubnan yang menyasarkan kumpulan bersenjata Hezbollah di selatan dan timur negara itu, serta serangan yang turut meliputi ibu negara, Beirut.

Pertempuran tersebut telah menyebabkan hampir 1.2 juta penduduk Lubnan kehilangan tempat tinggal, menurut unit krisis Lubnan. 

Menurut Bank Dunia, dana tersebut akan digunakan untuk menyediakan bantuan kepada penduduk Lubnan yang telah menjadi pelarian sejak serangan bermula.

“Bantuan ini termasuk sokongan kecemasan kepada pelarian, yang boleh disalurkan melalui platform digital yang dibangunkan Bank Dunia semasa pandemik Covid-19,” kata kenyataan tersebut.

Hezbollah telah terlibat dalam pertempuran rentas sempadan dengan Israel sejak Oktober tahun lalu, selepas sekutunya, Hamas dari Palestin, melancarkan serangan besar-besaran yang mencetuskan perang Israel di Gaza.

Lubnan yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang mencabar serta inflasi yang melonjak tinggi sebelum permusuhan terkini, telah kehilangan lebih 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 2018, menurut laporan Bank Eropah bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD), minggu lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini