Oracle rancang pelaburan AS$6.5 bilion untuk kemudahan awan di Malaysia - Utusan Malaysia

Oracle rancang pelaburan AS$6.5 bilion untuk kemudahan awan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat teknologi global, Oracle merancang untuk melabur lebih AS$6.5 bilion (RM27.1 bilion) untuk membuka kemudahan rantau awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan awan di negara ini.

Menurut kenyataan, kemudahan awan akan datang itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsi Oracle di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI serta memindahkan beban kerja kritikal misi ke Infrastruktur Awan Oracle (OCI).

Katanya, rantau awan awam yang dirancang akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan aplikasi mereka, memindahkan semua jenis beban kerja ke awan dan berinovasi dengan data, analitik dan AI.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pelaburan Oracle di Malaysia, yang mewakili satu lagi pengembangan jejak 36 tahun mereka di Malaysia.

Katanya, pelaburan ini akan memperkasakan entiti Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan AI dan teknologi awan yang inovatif dan termaju untuk meningkatkan daya saing global mereka.

“Ia juga merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bercita-cita tinggi Pelan Induk Perindustrian Baharu negara untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Keputusan Oracle untuk mewujudkan rantau awan awam di Malaysia menekankan kesediaan infrastruktur Malaysia dan kedudukannya yang semakin berkembang sebagai destinasi utama Asia Tenggara untuk pelaburan digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×