PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melakukan reformasi kepemimpinan menjelang pemilihan parti itu bagi sesi 2024 – 2027 2 November depan.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan mendakwa, kepimpinan tertinggi Bersatu ketika ini dilihat menjadi antara penyebab kepada kemelut yang dihadapi apabila semakin lama semakin lemah berbanding UMNO.
Dakwanya, keadaan itu berlaku berikutan kepimpinan parti itu sudah hilang hala tuju selepas dibelenggu masalah peribadi sehingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada parti.
“Menjadi bertambah berat lagi apabila pemilihan bulan hadapan telah diatur sebegitu rupa dalam dua tiga jawatan tertinggi iaitu presiden, timbalan dan setiausaha agung.
“Dalam hal ini, walaupun tidak nampak pemberontakan akar umbi, isunya pemimpin lama itu pemimpin yang sedia ada dan akan datang, selepas pemilihan ini tidak akan membawa perubahan yang drastik kepada Bersatu.
“Ini kerana Bersatu bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan Pas dalam gabungan yang sama, tetapi pesaing paling utama dengan UMNO. Apabila UMNO naik menjadi lebih berpengaruh, maka semestinya Bersatu menjadi lebih lemah kerana pengaruh parti itu daripada ahli UMNO yang tidak berpuas hati sebelum ini
“Jadi untuk memulihkan Bersatu yang sekian lama akan menjadi merudum pengaruh mereka dalam arena politik, mereka perlu menukar kepimpinan atau setidak-tidaknya memberi pilihan kepada akar umbi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengemukakan ‘pelan kompromi’ supaya tiada pemilihan untuk lima jawatan tertinggi parti itu.
Beliau dilapor mencadangkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masing-masing bagi jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula akan berundur setapak bertanding naib presiden bersama dua penyandang, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman dilapor mendakwa, Bersatu tidak boleh lari daripada unsur kronisme terutama dalam pemilihan AMPT untuk memastikan kemenangan ‘selamat’ bagi golongan ahli yang lebih senior.
Dalam pada itu, penganalisis politik. Dr. P. Sivamurugan berpendapat, kewujudan politik puak, suatu yang tidak boleh dielak menjelang pertandingan parti yang mungkin melibatkan pasukan, cai atau kem-kem tertentu.
Bagaimanapun, katanya, Bersatu perlu memastikan kempen pemilihan partinya dilakukan secara muhasabah untuk meningkatkan sokongan ke arah parti dan kepimpinan.
“Kerana sudah pasrti pemilihan Bersatu kali ini juga penting apabila ada tawaran pemimpin tertentu yang mungkin mahu menguasai jawatan tertentu dalam parti.
“Jadi sebaik sahaja bermula kempen ini ia perlu dilakukan secara berhemah, elak pertembungan yang membawa kepada pembunuhan karakter atau permusuhan dalaman serta memastikan parti dapat merapatkan barisan semula sebaik selesai pemilihan,” katanya. – UTUSAN










