CADANGAN ini bertujuan untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang secara mampan, kewangan negara diurus dengan baik, kebajikan rakyat terjamin dan kelestarian alam sekitar dipelihara. Seterusnya menjadikan Malaysia negara yang berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Dalam usaha Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi rantau Asia, Kewangan Muslim Malaysia (MFP) menyarankan beberapa langkah strategik untuk menstruktur semula ekonomi negara dan meningkatkan daya saing.
Kerajaan perlu memperkenalkan insentif cukai serta sokongan kewangan kepada syarikat teknologi tempatan yang berinovasi dalam teknologi hijau dan digital. Ini selaras dengan matlamat meningkatkan daya saing dan membawa Malaysia ke tahap ekonomi yang lebih tinggi.
Selain itu, sokongan kepada pembangunan produk yang berinovasi dan mempromosi Malaysia sebagai hab global kewangan Islam perlu menjadi antara tumpuan bukan sahaja bagi memacu pelaburan swasta, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat global.
Dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, kerajaan perlu memastikan kesaksamaan peluang dan perlindungan sosial yang menyeluruh. MFP mencadangkan:
Kos sara hidupdan kebajikan rakyat
Pengawalan harga barang keperluan asas serta pemberian subsidi bersasar perlu diperluaskan untuk membantu golongan B40 dan M40.
Pada masa yang sama, program literasi kewangan perlu dipertingkatkan untuk membantu rakyat mengurus kewangan peribadi dengan lebih baik, terutamanya dalam menghadapi peningkatan kos hidup.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
PKS adalah nadi ekonomi negara. Peningkatan akses kepada pembiayaan mikro serta insentif penggunaan teknologi digital dan e-dagang akan memastikan PKS kekal berdaya tahan dan mampu berkembang, seterusnya memberikan peluang pekerjaan yang stabil kepada rakyat.
Pelaburan
Kerajaan perlu terus melabur dalam pendidikan berkualiti dan pembangunan modal insan. MFP mencadangkan peningkatan peruntukan bagi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) selain program latihan semula yang dapat menyediakan tenaga kerja mahir serta bersedia untuk menghadapi ekonomi berasaskan teknologi. Inisiatif yang baik seperti Minggu Latihan Kebangsaan juga perlu terus diteruskan untuk pembangunan kemahiran.
Namun begitu, dalam mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi yang mampan, tatakelola yang baik dalam sektor awam adalah penting. MFP mengesyorkan:
Pengurusan fiskal yang berhemat, telus
Kerajaan perlu mengekalkan disiplin fiskal yang ketat dengan menumpukan kepada pengurangan defisit dan hutang negara. Ini termasuk usaha untuk memperluas asas cukai tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah. Langkah ini penting bagi memastikan ketelusan dan kecekapan dalam penggunaan dana awam.
Percepat reformasi sektor awam
Reformasi sektor awam yang mengutamakan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti adalah penting untuk memaksimumkan hasil dan perkhidmatan kepada rakyat. Inisiatif ini akan memastikan sistem pentadbiran kerajaan lebih responsif, cekap dan memenuhi aspirasi Ekonomi Madani.
Cadangan-cadangan ini, berdasarkan tiga teras utama Ekonomi Madani, iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai, dan tatakelola baik, adalah penting untuk memastikan Malaysia kekal berdaya tahan selain berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
MFP percaya bahawa pendekatan seluruh Malaysia iaitu dengan penglibatan semua pihak, Malaysia dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, memperkukuh sistem kewangan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.-UTUSAN
PERSATUAN PROFESIONAL
KEWANGAN MUSLIM MALAYSIA (MFP)










