Bask Bear sasar buka 10 cawangan kafe di AmBank tahun ini - Utusan Malaysia

Bask Bear sasar buka 10 cawangan kafe di AmBank tahun ini

AARON Loo (kiri) bersama Bryan Loo (kanan) selepas merasmikan pelancaran cawangan Ambank-Bask Bear di PJ New Town, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bask Bear melancarkan cawangan kelapan di AmBank PJ New Town bagi menandakan langkah penting ke arah mencapai sasaran 10 cawangan kafe perbankan menjelang akhir 2024.

Inisiatif itu mengubah perbankan tradisional dengan mengintegrasikan elemen gaya hidup ke dalam rangkaian cawangan AmBank, di mana Bask Bear menambah suasana santai yang membolehkan pelanggan menikmati minuman dan makanan berkualiti sambil menjalankan urusan perbankan mereka.

Pengarah Urusan, Perbankan Runcit, AmBank (M) Berhad, Aaron Loo berkata, kerjasama dengan Bask Bear membolehkannya membawa pendekatan baharu dan inovatif kepada pengalaman perbankan tradisional.

“Kami melihat bagaimana konsep ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan kami dengan pelanggan sedia ada, malah turut menarik pelanggan baharu.

“Model perbankan kafe ini mencipta ruang yang terasa seperti komuniti, di mana pelanggan boleh menikmati kopi sambil menyelesaikan urusan perbankan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Ambank-Bask Bear di PJ New Town, di sini semalam.

Jelas Aaron, AmBank PJ New Town adalah cawangan yang lengkap dengan konsep terbaharunya.

“Pelanggan boleh memilih untuk berbincang dengan Pegawai Bank Peribadi dan Pengurus Perhubungan kami di pod perbincangan bulat dalam kawasan cawangan, bilik mesyuarat peribadi, atau menikmati secawan kopi dan roti bakar di Bask Bear,” katanya.

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, kerjasama itu menunjukkan bagaimana Bask Bear telah mengubah landskap perbankan di Malaysia dengan menggabungkan dunia kewangan dengan gaya hidup kafe.

“Kebolehsuaian AmBank membolehkan kami memperluaskan jangkauan dan sebagai balasannya, konsep kafe ini telah menyuntik tenaga dan keterlibatan baharu ke dalam rangkaian cawangan mereka (Ambank).

“Berikutan sambutan positif yang diterima sejak pembukaan tiga cawangan pertama, AmBank dan Bask Bear terus membuka lebih banyak cawangan, dengan AmBank PJ New Town menjadi salah satu daripadanya hari ini.

“Nantikan juga satu lagi cawangan yang akan datang, iaitu AmBank Rawang Country Homes, salah satu cawangan AmBank terbesar dan tersibuk di negara ini.

Tambah beliau, pihaknya turut menantikan kerjasama berterusan dengan AmBank, sambil merancang untuk membuka lima lagi cawangan tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×