Aduan berkaitan penerbangan turun pada separuh pertama

Aduan berkaitan penerbangan turun pada separuh pertama

ADUAN berkaitan penerbangan turun pada separuh pertama 2024. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima sebanyak 2,083 aduan pada separuh pertama 2024, menandakan penurunan sebanyak 32 peratus berbanding 3,063 aduan yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. 

MAVCOM berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,038 merupakan aduan berkaitan dengan syarikat penerbangan, yang merangkumi 98 peratus daripada jumlah keseluruhan. 

Katanya, baki dua peratus aduan pula berkaitan dengan perkhidmatan lapangan terbang.

“Bagi setiap sejuta penumpang yang dibawa, Firefly menerima jumlah aduan berdaftar tertinggi dengan 166 aduan, diikuti oleh Batik Air (139) dan AirAsia X (127). 

“Tiga kategori aduan tertinggi ialah pembatalan penerbangan, bagasi yang disalah kendali dan kelewatan penerbangan, yang secara keseluruhannya merangkumi 42 peratus daripada jumlah aduan,” katanya dalam kenyataan berdasarkan Laporan Pengguna Dwi-Tahunan ke-16.

Suruhanjaya berkata, selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), ia telah ditetapkan bahawa syarikat penerbangan dan lapangan terbang dikehendaki untuk memberi maklum balas bagi setiap aduan yang diterima dalam tempoh 30 hari. 

Menurutnya, Malaysia Airlines, MASwings dan Firefly masing-masing mencapai kadar penyelesaian melebihi 90 peratus dalam tempoh 30 hari dan bagi lapangan terbang pula, 89 peratus aduan diselesaikan dalam tempoh 30 hari.

“Suruhanjaya berjaya menyelesaikan dan menutup 97 peratus (2,028) aduan yang diterima pada separuh pertama tahun ini.

“Campur tangan suruhanjaya telah membantu menyelesaikan 45 peratus aduan yang berpihak kepada pengguna dengan syarikat penerbangan mengubah keputusan awal mereka untuk memberikan keputusan yang lebih adil. 

“Walau bagaimanapun, sebanyak 579 aduan tidak dapat diambil tindakan disebabkan oleh dokumen yang tidak lengkap daripada pengguna atau sebab-sebab lain di luar bidang kuasa suruhanjaya,” jelasnya.

Sementara itu, suruhanjaya memantau prestasi operasi syarikat penerbangan tempatan bagi tujuan meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan mereka. 

“Suruhanjaya telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) seperti Prestasi Tepat Masa (OTP) syarikat penerbangan yang memerlukan 85 peratus penerbangan berlepas dalam masa 15 minit daripada waktu yang dijadualkan. 

“Penunjuk lain yang dipantau ialah syarikat penerbangan dikehendaki mengendalikan 80 peratus penerbangan yang telah dijadualkan dan mengehadkan pembatalan tidak melebihi 20 peratus dalam sebulan. 

“Kegagalan untuk mencapai sasaran ini boleh menjejaskan pembaharuan atau perolehan Hak Lalu Lintas Udara (ATR) tambahan yang dipohon dengan suruhanjaya,” ujarnya.

MAVCOM berkata, pada April dan Mei 2024, AirAsia Berhad mencapai kadar prestasi OTP sebanyak 85 peratus untuk operasi penerbangan domestiknya. 

“AirAsia X juga turut mencapai sasaran OTP pada bulan Mei dan Jun 2024. Bagi operasi penerbangan antarabangsa, AirAsia X  mencapai sasaran dari bulan April hingga Jun 2024, manakala AirAsia Berhad mencapai sasaran ini hanya pada April 2024.

“Batik Air dan Malaysia Airlines menunjukkan kekurangan dalam memenuhi prestasi OTP untuk operasi penerbangan domestik dan antarabangsa dari April hingga Jun 2024.

“Namun, semua syarikat penerbangan berjaya memenuhi piawaian pembatalan penerbangan antara April hingga Jun 2024, mencapai kadar operasi 100 peratus untuk penerbangan yang dijadualkan dalam bulan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×