ISU ketiadaan sijil halal di beberapa premis makanan dari sistem rangkaian terkemuka mengejutkan pelbagai pihak, terutama dalam kalangan pelanggan beragama Islam yang pernah mengunjungi premis makanan tersebut.
Sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan kaya dengan pelbagai juadah hidangan, tentunya syarikat premis makanan mengambil peluang untuk menyediakan menu atau produk makanan yang sesuai untuk semua pelanggan, termasuk yang beragama Islam.
Harus difahami majoriti perniagaan sektor makanan dipelopori peniaga bukan Islam, yang rata-ratanya mengamalkan perniagaan berdasarkan keperluan ekonomi dan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan implikasi terhadap masyarakat dan pelanggan beragama Islam.
Kajian mendapati pengetahuan dan sikap terhadap pematuhan piawaian halal memainkan peranan penting dalam mempengaruhi syarikat dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan prestasi organisasi tersebut.
Di zaman kompetitif ini, seharusnya pihak premis makanan lebih peka terhadap kepentingan memperoleh pensijilan halal dalam meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan di samping meningkatkan kualiti makanan serta perkhidmatan pelanggan.
Dari sudut pandangan Islam, tiada halangan untuk menjalankan perniagaan demi mencapai keuntungan yang disasarkan. Namun, harus dijalankan dengan amalan perniagaan yang beretika tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan dan meletakkan risiko impak terhadap pihak ketiga.
Walaupun sijil halal bersifat sukarela, namun amalan perniagaan mengikut garis panduan halal lebih didorong faktor ekonomi, nilai dan prestasi kewangan yang memberangsangkan. Namun, harus difahami bahawa menjalankan perniagaan halal juga adalah salah satu aktiviti tanggungjawab sosial terhadap masyarakat yang memenuhi gabungan aspek ekonomi, undang-undang dan etika.
Antara langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran dalam isu status halal adalah peranan penting oleh pihak pelanggan sendiri. Di era kemajuan teknologi dan digital ini, seharusnya pelanggan lebih peka terhadap status halal premis makanan dengan membuat semakan status halal dengan melayari laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu sebelum mengunjungi sesuatu premis makanan.
Manakala dari sudut perspektif pengusaha makanan pula, sokongan kuat serta rasa tanggungjawab daripada pihak pengurusan dan mempunyai tadbir urus halal yang baik dalam mendapatkan pensijilan halal sangat dititikberatkan.
Tindakan ini sangat wajar dan penting dalam menjaga peradaban perniagaan, sebagai simbol solidariti dan rasa hormat terhadap sesama masyarakat. Selain itu, ia juga menyokong aspirasi serta hasrat kerajaan memperkasakan rakyat melalui Ekonomi Madani dan Pelan Induk Industri Halal 2030 dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi negara.-UTUSAN
JULIANA ANIS RAMLI
Fakulti Perniagaan Universiti
Tenaga Nasional (UNITEN)











