ISLAMABAD: Penunjuk perasaan di bandar selatan Pakistan, Karachi bertempur dengan pihak polis ketika mereka cuba bergerak menuju ke Konsulat Amerika Syarikat (AS) dalam demonstrasi membantah pembunuhan pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah oleh Israel.
Penunjuk perasaan yang marah melaungkan slogan ‘Mati Amerika’ sambil membawa poster-poster Nasrallah.
Dalam insiden itu, tujuh anggota polis dilaporkan cedera akibat dibaling batu oleh penunjuk perasaan dan sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut Timbalan Ketua Polis, Asad Raza, pihak polis terpaksa menggunakan rotan dan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang melanggar kawasan larangan yang telah dipersetujui dengan penganjur sebelum ini.
“Penunjuk perasaan bertindak ganas apabila cuba merempuh kawasan larangan. Polis akan membuka kertas siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam keganasan,” katanya.
Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh parti politik agama pro-Iran, Majlis Wahdatul Muslimeen, yang berjaya mengumpulkan kira-kira 3,000 orang di bandar terbesar negara itu.
Kejadian ini berlaku selepas kematian pemimpin tersebut dalam serangan udara di Beirut pada Jumaat lalu dan Hezbollah dilaporkan telah melancarkan serangan roket baharu ke atas Israel susulan insiden tersebut, manakala Iran pula berkata kematian Nasrallah akan dibalas. -AGENSI










