BEIRUT: Tentera Israel didakwa menggodam frekuensi radio menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut dan mengancam untuk menyasarkan pesawat awam Iran yang cuba mendarat.
Menurut sumber, kementerian pengangkutan Lubnan mengarahkan pesawat Iran mengelak memasuki ruang udaranya atau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri selepas tentera Israel mengancam untuk menggunakan kekerasan.
Sebelum ini, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari memberi amaran bahawa tentera Israel tidak akan membenarkan pemindahan senjata kepada Hezbollah, termasuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.
“Kami menyedari pemindahan senjata Iran kepada Hezbollah dan kami akan mengambil tindakan untuk menghalangnya,” kata Hagari.
Bagaimanapun, dalam kenyataan di televisyen, Menteri Pengangkutan Lubnan, Ali Hamieh menafikan dakwaan Israel itu.
Beliau menekankan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut adalah kemudahan awam dan menjelaskan sebarang aktiviti pesawat tentera di lapangan terbang adalah tertakluk kepada kelulusan eksklusif tentera Lubnan.
Kelmarin, Tentera Israel mendakwa membunuh Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah selepas melancarkan serangan udara besar-besaran yang menyasarkan kawasan perumahan di pinggir selatan Beirut.
Menurut rangkaian berita Lubnan Al-Mayadeen, sekurang-kurangnya enam bangunan musnah dalam serangan itu, yang dilakukan dengan melepaskan bom pemusnah seberat 907 kilogram.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani berkata, operasi tersebut dipanggil ‘perintah baharu’ selepas risikan mendapati Nasrallah dan pemimpin kanan Hezbollah mengadakan pertemuan di ibu pejabat bawah tanah pergerakan itu di lokasi berkenaan bagi merancang serangan lanjut terhadap Israel.
Menurut Shoshani, ketua barisan selatan Hezbollah, Ali Karaki yang menjadi buruan Israel sejak awal minggu lalu turut maut dalam serangan itu.
“Kami mempunyai risikan masa nyata, peluang dan operasi yang membolehkan kami melakukan serangan ini,” katanya kepada pemberita.
Radio Tentera Israel memetik ketua skuadron tentera udara yang melakukan serangan tersebut berkata, juruterbang hanya diberi butiran sasaran dalam masa yang singkat sebelum berlepas.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 720 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam pencerobohan Israel yang berterusan di seluruh negara itu sejak minggu lalu.-AGENSI











