WASHINGTON: Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) menyaksikan persaingan sengit antara Kamala Harris dari Demokratik dan pencabarnya, Donald Trump yang mewakili Republikan.
Menurut tinjauan pendapat oleh New York Times dan Siena College, kedudukan kedua-dua calon ini masing-masing sengit di negeri utama iaitu Michigan dan Wisconsin.
Berdasarkan tinjauan itu, Harris mendahului sokongan di Michigan dengan 48 peratus, sementara Trump berada sedikit di belakang, iaitu 47 peratus.
Begitu juga di Wisconsin, Harris kekal mendahului pencabarnya dengan meraih 49 peratus berbanding Trump, 47 peratus.
Tinjauan dilakukan melalui telefon antara 21 hingga 26 September lalu, melibatkan 688 pengundi di Michigan dan 680 pemilih di Wisconsin.
Margin ralat terhadap sampel pengundi yang dijangka ini adalah kira-kira empat mata peratusan untuk setiap tinjauan pendapat, lapor Reuters.
Tinjauan juga mendapati Harris mempunyai kelebihan sembilan mata peratusan berbanding Trump di Daerah Kongres Kedua Nebraska, yang satu-satunya undi pilihan raya boleh menjadi penentu di Kolej Pilihan Raya.
Dalam tinjauan sebelum ini oleh NYT/Siena College menunjukkan Trump mempunyai kelebihan tipis di tiga negeri iaitu Arizona, Georgia dan North Carolina.
Pemilihan Presiden AS akan diadakan pada 5 November, namun pengundian awal sudah bermula di negeri Virginia, South Dakota dan Minnesota.
Tiga negeri terbabit memulakan pengundian awal 46 hari sebelum pengundian utama, yang menyaksikan persaingan semakin sengit antara Harris dan Trump untuk mengemudi White House.










