PETALING JAYA: Formula terbaik untuk menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah dengan kerjasama rapat di antara gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, formula itu selepas menilai kemenangan besar calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam.
“Kerajaan Perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama PH dan BN untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, BN berjaya mempertahan kerusi DUN Mahkota selepas Syed Hussien menewaskan menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, berlaku pertembungan tiga penjuru di DUN Mahkota menyaksikan BN mendapat 16,611 undi, PH (11,445 undi), manakala Perikatan Nasional mendapat 7,614 undi.
Jelasnya, jika kedua-dua PH dan BN bergabung dalam PRN Johor lalu, jumlah adalah 28,056 undi iaitu hampir sama dengan keputusan PRK semalam.
“Ini bermakna, melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh, kebanyakan pengundi PH sudi memindahkan undi mereka kepada BN bagi PRK DUN Mahkota.
“Melalui kerjasama lebih kukuh, pentadbiran lebih cekap, adil dan meyakinkan, lebih ramai pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak keluar mengundi semalam akan dapat dipujuk untuk kembali menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN











