KUALA LUMPUR: Komitmen Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam meningkatkan pertumbuhan negara dapat dilihat menerusi beberapa lawatan ke beberapa negara sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ia meliputi aspek yang memberi kepentingan positif khususnya kepada rakyat.
Terbaharu, Sultan Ibrahim melawat China bagi memastikan Malaysia dilimpahi kemasukan pelaburan baharu, sekali gus mencatat kejayaan besar di samping mengukuhkan hubungan erat dan dinamik kedua-dua negara.
Pada hari pertama lawatan di China bermula 19 September lalu, Seri Paduka berkenan menerima mengadap Presiden Xi Jinping dan membincangkan pelbagai isu hubungan dua hala dan komitmen memperkukuh kan kerjasama strategik komprehensif Malaysia-China.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut menerima mengadap Premier China, Li Qiang bagi membincangkan peluang kerjasama lebih erat dalam pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan dan pertukaran kebudayaan, sekali gus memperlihat rasa hormat dan kepercayaan bersama yang menjadi asas hubungan Malaysia-China.
Dalam lawatan itu juga, Sultan Ibrahim berkenan menghadiri majlis penamaan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai tanda penghormatan kepada Seri Paduka dan lambang hubungan kebudayaan serta kerjasama dalam pendidikan.
Bagi menonjolkan potensi kerjasama dalam sektor aeroangkasa, Seri Paduka berangkat melawat Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing, Commercial Aircraft Corporation of China, Ltd. (COMAC) serta meninjau pesawat C919 dan ARJ 21 di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital untuk melihat perkembangan teknologi penerbangan terkini di negara itu.
Segala usaha ini bukan sahaja sebagai meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tetapi turut membuka jalan kerjasama masa depan dalam pelbagai sektor.
Sebelum ini, Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat ke Singapura sebagai komitmen untuk mendapatkan pelaburan di Malaysia.
Lawatan pada 6 Mei lalu atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan merupakan Lawatan Negara pertama Seri Paduka sejak menaiki takhta.
Sultan Ibrahim berkenan melawat Parlimen Singapura, sementara Raja Zarith Sofiah berangkat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.
Seri Paduka kemudian dibawa melawat Unit Rawatan Rapi Neonate dan Pusat Penjagaan Khas untuk kesihatan bayi.
Selain itu, Raja Permaisuri Agong turut melawat Bank Susu Badan KK dan Loker Peti Sejuk Beku Susu Badan KK yang pertama di dunia menyediakan tempat untuk penderma susu badan dan penerima boleh mengambilnya 24 jam selama tujuh hari seminggu.
Seri Paduka berdua kemudian dipersembahkan taklimat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura sebelum berangkat pulang ke Johor Bahru melalui Tambak Johor.
Sultan Ibrahim sentiasa memantau serta mengikuti perkembangan projek berkenaan yang berperanan sebagai pemangkin hab ekonomi selatan tanah air negara.
RTS Link bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah merancakkan sektor pelaburan serta meningkatkan pendapatan ekonomi setempat.
Pembinaannya juga akan memberi kesan limpahan kepada pertumbuhan ekonomi. – UTUSAN










