Jangan hasil hilang, penyeludupan meningkat

Jangan hasil hilang, penyeludupan meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berkuat kuasa 1 Oktober ini, peniaga vape dan rokok dilarang menjual produk itu secara terbuka.

Larangan itu terpakai apabila Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan. Akta itu melarang produk dilihat di kedai serbaneka. Jika diletak dirak, kabinet perlu bertutup supaya tidak dilihat di tempat jualan. Selain itu, had isipadu cecair vape terjual tidak boleh melebihi 3 mililiter (mL) untuk pod, kartrij, pakai buang (disposable) dan tidak boleh melebihi 15mL untuk botol.

Industri vape tempatan dilaporkan membantah sekeras-kerasnya peraturan itu yang disifatkan ‘menghukum’ dan menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaannya.

Bantahan mereka ada asasnya. Apa guna berniaga, tetapi produk tidak boleh dipamerkan. Lebih baik tidak berniaga langsung.

Selain itu, pihak industri mendakwa, sering kali menjadi barisan terakhir diberitahu tentang sebarang perkembangan Akta 852 dan masih keliru mengenai implikasi sebenar akta apabila dikuatkuasakan. Vape dianggap alternatif kepada produk tembakau. Dilaporkan terdapat lebih 2,000 pemain industri vape, majoriti bumiputera.

Menurut mereka, pemain industri telah meletakkan banyak usaha untuk membangunkan industri vape tanah air sehingga ke persada dunia dan kini telah pun dinilai pada kadar RM3.48 bilion.

Kebanyakan produk dilaporkan dikeluarkan dalam negara. Ia satu nilai yang cukup besar dan boleh memberi pelbagai kesan rantaian buat ekonomi negara.

Sebelum ini, ada gesaan supaya kerajaan mengharamkan terus rokok elektrik atau vape dengan alasan penggunaannya semakin meluas dalam kalangan remaja bawah umur 18 tahun. Dan pe­nguatkuasaan Akta 852 dilihat antara usaha kerajaan ke arah itu.

Persoalan, sejauh mana peraturan baharu itu boleh membantu kerajaan lebih tepat lagi Kementerian Kesihatan (KKM) mencapai hasrat tersebut? Atau, ia hanya mengundang pelbagai implikasi lain seperti peningkatan aktiviti penyeludupan?

Kita tidak mahu pelaksanaan akta hanya ‘memeriahkan’ penyeludupan vape dan rokok. Pada masa sama, kerajaan pula hilang hasil cukai berbilion ringgit setahun.

Buktinya, kerajaan memperketatkan peraturan berkaitan tembakau sebelum ini termasuk menaikkan cukai eksais. Harga produk tembakau meningkat mendadak, dan perokok mencari sumber lain, menyebabkan rokok seludup berleluasa. Kesannya, kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai sebanyak RM5 bilion setahun.

Senario sama boleh berlaku dalam kes vape. Ia ibarat orang nak beras putih tempatan tetapi bekalan tiada di pasaran hingga kini. Tetapi beras putih ada pula dijual di MAHA 2024, dan pengguna ‘serbu’ MAHA untuk mendapatkan bekalan sehingga jualan terpaksa dihadkan.

Begitu juga dengan vape. Perokok elektronik mahukan vape tetapi jualannya dipersulitkan dan dia akan mencari sumber lain. Tidak ada di kedai serbaneka, dia akan cari di kedai runcit, kedai Aceh, hatta penjual seludup. Mungkin juga membeli secara dalam talian.

Akhirnya, matlamat pelaksanaan Akta 852 tidak akan berjaya jika akta hanya menyebabkan penjualan produk secara sah makin sukar, sementara penyeludupan pula bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Jika kerajaan mahu membenarkan industri itu beroperasi, kenapa perlu dikenakan pelbagai peraturan yang menyusahkan? Benarkan sahaja mereka beroperasi secara sah dan kawal sewajarnya.

Kerajaan juga boleh dapat hasil cukai yang dianggarkan bernilai ratusan juta setahun.

Pada masa sama, KKM perlu giatkan kempen-kempen keseda­ran terutama dalam kalangan generasi muda. Jika rakyat Malaysia sudah memiliki kesedaran yang cukup tinggi mengenai kesihatan mereka, kita tidak perlu pun apa-apa akta yang menyusahkan. Tiada permintaan, tiada pula penawaran. Mana-mana industri yang tidak lagi diminati, akhirnya akan berkubur juga. – UTUSAN

Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×