GISBH: Sekolah rendah Islam di Bukit Raja ditutup, tidak beroperasi - Utusan Malaysia

GISBH: Sekolah rendah Islam di Bukit Raja ditutup, tidak beroperasi

Sekolah GISBH tutup
NOTIS penutupan oleh JAIS yang ditampal di pintu sekolah itu di Bandar Bukit Raja, Klang, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd. (GISBH) di Bandar Bukit Raja di sini, ditutup sepenuhnya dan tidak lagi beroperasi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan sekolah yang berada berdekatan pondok pengawal kawasan perumahan berpagar itu sunyi dan kosong.

Selain itu, papan tanda utama sekolah berkenaan di bangunan dua tingkat berkenaan telah diturunkan manakala pintunya turut dikunci.

Dua notis penutupan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut ditampal di pintu sekolah itu yang bertarikh pada 18 September dan Isnin lalu.

Notis berkenaan memaklumkan sekolah itu ditutup mengikut Seksyen 25 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI) (Pindaan 2021).

Seorang pengawal keselamatan berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, sekolah itu dilihat kosong sejak lebih dua minggu lalu.

“Selepas diserbu pihak berkuasa sebelum ini, keadaan sekolah berkenaan sunyi. Papan tanda utama sekolah itu juga sudah tiada dan berada di kawasan bangunan tersebut,” katanya.

Semalam, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan lapan buah sekolah milik GISBH dan rangkaiannya di Selangor diarah tutup serta merta dan dibatalkan pendaftarannya.

Kesemua sekolah itu didaftarkan sebagai Sekolah Islam Persendirian di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Selain Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, ia melibatkan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang dan Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong.

Turut terlibat, Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam; Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof memaklumkan bahawa JAIS melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua sekolah Islam persendirian yang didapati menyalahi peruntukan EPSAI 1988.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISBH disegerakan.

Baginda sebelum itu meminta seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam kesalahan jenayah diheret ke mahkamah.

Selain itu, Sultan Sharafuddin mahu semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat kegiatan jenayah ditutup segera serta tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×